Anda di sini

Penyokong BN meninggal dunia ketika berhimpun di pusat penamaan

Advertisement
 

KAJANG: Seorang penyokong Barisan Nasional (BN) disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai kumpulan mengiringi calon ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata lelaki berusia 59 tahun itu dikatakan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri di kawasan berkumpul penyokong BN kira-kira pukul 9.20 pagi.

"Pasukan kecemasan dari sebuah pusat perubatan swasta yang dikejarkan ke tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang di Saujana Impian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mengenai perjalanan proses penamaan calon itu, Ahmad Dzaffir berkata tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan.  

Mengenai permit ceramah semasa berkempen bagi PRK DUN Semenyih, Ahmad Dzaffir berkata parti politik dan individu bertanding perlu mengemukakan permohonan permit sekurang-kurangnya 24 jam sebelum ceramah berlangsung.

"Pihak saya telah berjumpa dengan semua pihak yang bertanding, borang permohonan permit telah dikeluarkan sejak Jumaat lepas.

"Mereka yang ingin memohon permit ceramah boleh berbuat demikian mulai hari ini dengan menghantar borang berkenaan ke Bahagian Perlesenan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang," katanya.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Kuan Chee Heng (Bebas) dan Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia).

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor dari Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung. - Bernama 

Advertisement