Anda di sini

Pendakwaan mohon pindahkan kes Rizal ke mahkamah sama kes Rosmah

Advertisement
 Rizal yang berdepan pertuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar di Sarawak ketika hadir di Mahkamah Tinggi bagi sebutan kes itu, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
HADIR: Rizal yang berdepan pertuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar di Sarawak ketika hadir di Mahkamah Tinggi bagi sebutan kes itu, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan memohon untuk memindahkan kes Datuk Rizal Mansor yang berdepan pertuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar di Sarawak, ke mahkamah sama yang mendengar kes pengubahan wang haram isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bahawa pendakwaan memfailkan permohonan memindahkan kes itu pada Rabu lepas.  

Sri Ram juga memaklumkan dokumen berkaitan menurut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili bekas pegawai khas kepada perdana menteri itu tidak membantah permohonan pendakwaan dan mahkamah menetapkan 14 Mac ini untuk pengurusan kes.

Pada 15 November 2018,  Rizal, 45, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi dirinya dan Rosmah berjumlah RM5.5 juta melibatkan pembekalan peralatan serta pemasangan sistem hibrid solar bagi sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta, bagi pihak Rosmah sejumlah RM187.5 juta iaitu 15 peratus nilai kontrak, daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Ia sebagai dorongan untuk Rosmah melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek  Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bagi pertuduhan kedua, Rizal didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan iaitu wang berjumlah RM25 juta daripada Saidi sebagai dorongan untuk tertuduh melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe’, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit, dekat sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan ketiga, Rizal didakwa telah secara rasuah menerima RM5 juta bagi pihak Rosmah daripada Saidi sebagai upah bagi Rosmah kerana telah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama di Lobi Pavilion REIT Management Sdn Bhd, 168, Pavilion, Jalan Bukit Bintang dekat sini pada 20 Disember 2016.

Menurut pertuduhan keempat, dia didakwa telah secara rasuah menerima bagi dirinya sendiri sejumlah RM500,000 daripada Saidi sebagai upah dalam memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No 1, Laman Damai Sari, Jalan 1/61, Bukit Segambut di sini pada 23 Dis  2016.

Kesemua pertuduhan adalah menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 10 kali jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement