Anda di sini

Masalah logistik halang 47 rakyat Malaysia pulang hari ini - Saifuddin

Advertisement
Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
KUANTAN: Kesemua 47 rakyat Malaysia yang dibebaskan di Kemboja semalam masih berada di negara itu selepas menghadapi masalah pentadbiran dan logistik yang menghalang mereka menaiki pesawat pulang ke tanah air pagi ini, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya kesemua mereka yang sebelum ini ditahan pihak berkuasa negara berkenaan, sepatutnya menaiki pesawat syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia yang menaja 38 kerusi.

 Sehubungan itu katanya usaha membawa pulang mereka akan diteruskan esok atau Isnin memandangkan penerbangan keluar dari Phnom Penh ke Malaysia hanya dua kali sehari.

"Ada beberapa orang daripada mereka tidak mempunyai pasport yang berkemungkinan hilang atau diambil oleh pihak tertentu dan pagi ini pegawai Kementerian Luar telah mengeluarkan ‘emergency certificate’ kepada mereka untuk urusan balik. 

"Kita dimaklumkan pada esok hanya ada 20 kerusi kosong dalam dua penerbangan keluar dari Kemboja," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Lautan Kasih Hamparan Budi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar di sini, hari ini. 

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota, berkata beliau turut mengarahkan pegawai kementerian mencari alternatif lain agar urusan membawa pulang kesemua mereka dapat dilakukan secepat mungkin.

"Mereka semua bersemangat untuk pulang ke pangkuan keluarga dan lega kerana telah dibebaskan. Semuanya memang tidak sabar untuk pulang," katanya. 

Saifuddin juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Kemboja khususnya kepada Perdana Menterinya Hun Sen yang memberikan kelulusan khas membebaskan rakyat Malaysia dan semua pihak dari negara itu yang terlibat dalam urusan pembebasan berkenaan. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada dua pegawai kanan Wisma Putra yang ke daerah Banteay Meanchey bagi menguruskan pembebasan serta kerajaan negeri Sarawak dan Anggota Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien yang turut membantu dalam isu itu. 

Kumpulan rakyat Malaysia terbabit termasuk 44 dari Sarawak dilaporkan ditahan di penjara wilayah Banteay Meanchey atas dakwaan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram. 

Mereka didakwa memasuki negara itu selepas ditipu dengan tawaran kerja yang dikatakan menawarkan gaji lumayan. - BERNAMA 

Advertisement