Anda di sini

Kapal karam di Sungai Niger, seorang maut, lebih 40 hilang

Advertisement

NIAMEY: Anggota penyelamat, nelayan, pakar tentera laut dan polis telah menggeledah Sungai Niger pada Khamis bagi mencari 42 orang, termasuk kanak-kanak, yang hilang selepas sebuah kapal yang terlalu penuh karam ketika membawa mereka ke sebuah pasar, kata pihak berkuasa.

Kapal itu karam ketika ia dibadai oleh angin yang sangat kuat di daerah Sambera di barat daya Niger, berhampiran sempadan dengan Benin, pada awal pagi Rabu, baharu sahaja belayar sejauh 200 meter dari destinasinya.

“Seramai 62 orang telah di-selamatkan dan 43 lagi hilang, berdasarkan kepada jumlah kasut yang ditemui,” Datuk Bandar Sambera, Oumarou Hassane memberitahu AFP.

Mayat seorang wanita kemudian telah ditemui.

Mangsa telah menaiki sebuah kanu dalam perjalanan dari Gorou-Beri di Benin ke Ouna di Niger, kata Hassane.

Kapal itu membawa satu penghantaran besar berupa bijirin dan kira-kira seratus peniaga dari Benin dan Niger, termasuk kanak-kanak, tambah Hassane.

Di Benin, Moussa Mouhamadou, pentadbir bagi daerah utara Alibori, menyebut satu angka yang sama.

“Seramai 64 orang telah diselamatkan,” beliau memberitahu Radio Benin.

“Kami menemui kira-kira 40 pasang kasut di tempat kejadian dan mengaitkan ia dengan orang yang hilang.”

“Mangsa yang terselamat sudah pulang ke rumah dan dalam keadaan baik. Mereka diberikan bantuan dan rawatan perubatan serta psikologi,” kata Mouhamadou.

Kebanyakan penumpang adalah dari Benin, kata menteri dalam negeri di negara tersebut Sacca Lafia.

“Sejajar dengan undang-undang, pengemudi kapal telah ditangkap kerana tidak mematuhi arahan keselamatan... Kami berharap kejadian ini tidak akan berulang,” jelas beliau.

Sungai Niger, satu arteri pengangkutan yang sibuk di Afrika Barat, telah melimpah dari tebingnya kira-kira dua minggu lepas, menyebabkan kerosakan besar kepada tanaman. Ketika banjir mula surut, paras sungai masih lagi tinggi.

Seorang pegawai bagi pertahanan awam Niger memberitahu radio awam kanu itu karam “kira-kira 200 meter” dari jeti yang ditujunya.

Menurut Mouhamadou, anggota polis dan tentera laut serta nelayan di tempat kejadian memulakan pencarian untuk mengsa terselamat sejurus selepas kejadian karam, dan penyelam dari jabatan bomba di bandar komersil, Cotonou, telah pergi ke tempat kejadian pada Khamis.

Bot karam adalah biasa berlaku di Sungai Niger, yang membawa  beratus-ratus kanu setiap hari. Kebanyakan telah dijalankan oleh beberapa syarikat yang mengabaikan piawaian keselamatan.

Pengemudian adalah “selalunya diberikan kepada remaja untuk melakukannya,” seorang sumber keselamatan Nigeria memberitahu AFP.

Pada Oktober 2017, 17 orang disahkan lemas selepas sebuah bot yang membawa kira-kira 60 penumpang karam dalam satu perjalanan dari barat laut Nigeria ke Niger.

Sebulan sebelum itu, 56 orang terkorban apabila sebuah bot yang terlalu penuh membawa 150 penumpang, kebanyakannya peniaga dari Niger, karam di wilayah Kebbi, Nigeria.

Kebanyakan penumpang bot ini adalah peniaga haiwan ternakan dan gandum yang diniagakan antara Niger, Benin, dan Nigeria.

Terdapat hanya tiga jamba-tan yang menghubungkan sungai sepanjang 550 kilometer melalui Niger, sebuah negara miskin dan kekurangan tanah yang bergantung sepenuhnya kepada import dari pelabuhan Cotonou. — AFP

Advertisement