Anda di sini

Enam ditahan disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas

Advertisement
 Seorang daripada enam individu termasuk empat warga asing yang ditahan di Kuala Lumpur, semalam dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas menerusi beberapa operasi di Johor, Selangor dan Sabah dalam tempoh 19 Dis hingga 28 Jan lalu. — Gambar Bernama
DITAHAN: Seorang daripada enam individu termasuk empat warga asing yang ditahan di Kuala Lumpur, semalam dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas menerusi beberapa operasi di Johor, Selangor dan Sabah dalam tempoh 19 Dis hingga 28 Jan lalu. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Polis menahan enam individu termasuk empat warga asing yang dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas menerusi beberapa operasi di Johor, Selangor dan Sabah dalam tempoh 19 Dis hingga 28 Jan lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Muhamad Fuzi Harun berkata suspek yang diberkas oleh Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia tersebut merangkumi dua warga tempatan serta masing-masing seorang dari Singapura, Bangladesh, Filipina dan sebuah negara di Asia Selatan.

“Tangkapan pertama dibuat pada 19 Dis di Johor Bahru melibatkan seorang ahli perniagaan warga Singapura berusia 48 tahun yang aktif berhubung dengan Akel Zainal, iaitu rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan Daesh di Syria.

“Suspek telah membantu menyalurkan dana kepada individu tersebut dan merekrut beberapa individu bagi tujuan melancarkan serangan ke atas bangunan Freemason di Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pada tarikh sama, seorang lelaki pekerja pembersihan warga Bangladesh berusia 31 tahun ditahan di Klang, Selangor  kerana dipercayai menyokong perjuangan kumpulan Daesh dan aktif menjalankan kegiatan merekrut individu di negara ini untuk menyertai kumpulan pengganas tersebut.

Turut ditahan seorang lelaki warga Filipina berusia 21 tahun yang diberkas di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Muhamad Fuzi, suspek yang bekerja sebagai buruh binaan itu merupakan anggota kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan telah menyusup masuk secara haram ke negara ini pada Mac 2018.

“Suspek mempunyai kemahiran mengendalikan pelbagai jenis senjata api dan mempunyai hubungan dengan Furuji Indama (pemimpin kumpulan ASG) di selatan Filipina,” katanya, menambah tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan anggota ASG yang ditangkap sejak 2017 ialah seramai 29 orang.

Beliau berkata pada 10 Jan lalu, polis menahan dua lelaki rakyat tempatan yang masing-masing berusia 38 tahun di Sepang, Selangor.

Kedua-duanya yang bekerja sebagai pekerja ladang di sebuah negara diusir pulang ke Malaysia selepas ditangkap di negara berkenaan kerana terlibat memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh di Syria.

“Seorang suspek telah menyalurkan dana kepada Khairul Amizan Azmi (rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria),” katanya.

Terbaharu pada 28 Jan lepas, seorang lagi suspek berusia 26 tahun dan berasal dari sebuah negara di Asia Selatan ditahan di Puchong, Selangor  kerana telah memberi perlindungan kepada seorang individu dari sebuah negara di Asia Selatan yang disenaraikan dalam Notis Merah Interpol kerana terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah serta keganasan.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta  Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012. — Bernama

Advertisement