Anda di sini

BERSATU sah masuk Sabah

Advertisement
 Dr Mahathir ketika sidang media selepas               mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Yayasan                            Al Bukhary, Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama
BERI PENJELASAN: Dr Mahathir ketika sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad semalam berkata parti itu bersetuju untuk menubuhkan cawangannya di Sabah bagi membolehkan bekas anggota UMNO Sabah menyertainya.

Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri, berkata keputusan itu dibuat selepas anggota UMNO Sabah yang bertindak keluar parti tidak mahu menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang merupakan sekutu Pakatan Harapan (PH).

“Mereka ini tidak me-milih untuk menyertai WARISAN… dan mahu menyertai BERSATU. Bagaimanapun tapisan ketat akan dikenakan untuk mereka yang akan menyertai BERSATU.

“Tiga syarat yang kita letak ialah mereka mesti keluar UMNO, menjadi (wakil rakyat) Bebas untuk sekian lama dan barulah kita sedia untuk terima tetapi dengan pemilihan yang ketat, bukan secara berkumpulan tetapi individu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi BERSATU di sini.

Tun Mahathir berkata penubuhan BERSATU Sabah akan dibuat secepat mungkin dan parti akan membuat keputusan mengenai pemimpinnya kemudian.

Dr Mahathir bagaimanapun menegaskan wujudnya BERSATU di Sabah bukan untuk mencabar atau menentang WARISAN yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Tegas beliau semua boleh menyertai BERSATU kecuali mereka daripada parti komponen PH iaitu DAP, PKR dan AMANAH serta sekutunya WARISAN.

Ditanya sama ada perkara tersebut dibincangkan de-ngan kepimpinan WARISAN,  Dr Mahathir berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Kita pergi Sabah untuk kuatkan kerajaan Shafie, kita bukan nak menentang WARISAN, keputusan ini kita buat bila lihat keadaan Sabah... mereka ini (bekas anggota UMNO) tak nak sertai WARISAN tetapi nak sertai BERSATU,” tegasnya, menambah keputusan itu juga  tidak memerlukan persetujuan parti-parti dalam PH.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Dr Mahathir berharap pengundi di DUN itu dapat menerima calon yang dipilih BERSATU.

Kelmarin, BERSATU mengumumkan Muhammad Aiman Zainali, 30, sebagai calon pada PRK pada 2 Mac ini manakala BN mempertaruhkan Zakaria Hanafi, 58, Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kampung Sesepan Kelubi sebagai calonnya.

Muhammad Aiman ialah Bendahari BERSATU Bahagian Hulu Langat yang juga seorang jurutera dan sedang mengikuti pengajian ijazah doktor falsafah dalam bidang kejuruteraan elektrik di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

Muhammad Aiman juga adalah menantu penyandang, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor daripada BERSATU yang meninggal dunia pada 11 Januari lepas.

Sementara itu mengulas mengenai isu tajaan sebuah syarikat perjudian terhadap kursus sekumpulan pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia  ke Istanbul, Turki, Dr Mahathir berkata perkara tersebut adalah tidak wajar walaupun bertujuan baik.

“Ia berlaku (kelulusan) sebelum kami (PH) memerin-tah. Tujuannya bagus tapi sudah tentu ada yang mengkritik,” katanya. — Bernama

Advertisement