Anda di sini

ICSB sasar untung RM164 juta tahun ini

Advertisement

KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah (YS) berkata anak syarikatnya, Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) menyasarkan peningkatan keuntungan sebanyak 30 peratus kepada RM164 juta, tahun ini.

Pada tahun lepas, ICSB yang juga jentera pelaburan, pengurusan dan syarikat pemegang anak-anak syarikat Kumpulan YS, berjaya mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM126 juta.

Pengarah YS merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ICSB, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria berkata bagi mencapai sasaran itu, pihaknya menetapkan hala tuju baharu ICSB bagi memastikan anak syarikat mampu menjana impak keuntungan besar menerusi sektor komersial seperti pelancongan dan industri makanan.

“Pihak pengurusan kumpulan akan memberi tumpuan untuk mempertingkat sektor pelancongan serta memajukan industri makanan ini yang dapat menghasilkan pulangan pelaburan lebih besar pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Kumpulan YS yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, malam kelmarin.

Bagi tahun ini, Jamalul Kiram berkata pihaknya lebih mengutamakan aspek kestabilan pendapatan terutamanya berikutan kekurangan sumber kayu balak.

Sehubungan itu, mana-mana anak syarikat yang mencatat kerugian selama tiga tahun berturut-turut dan terbukti gagal meraih keuntungan pada masa depan, akan ditutup.

Malah, pengurusan kumpulan itu telah menetapkan beberapa Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang perlu dicapai setiap anak syarikatnya bagi memastikan sasaran lima tahun yang ditetapkan itu dapat dicapai, katanya.

Menurutnya, antara cabaran yang perlu dihadapi adalah keadaan ekonomi yang tidak menentu, harga minyak sawit mentah yang sentiasa berubah serta peningkatan kos operasi.

Selain itu, Jamalul Kiram berkata Kumpulan YS juga akan terus menumpukan aspek pendidikan dan pembangunan modal insan.

“Penekanan ini sebagai usaha berterusan ke arah memperkembang potensi individu dengan mewujudkan modal insan yang seimbang melalui penajaan biasiswa, dermasiswa dan pinjaman,” katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh 1967 sehingga tahun lepas, Kumpulan YS telah membelanjakan sebanyak RM772.7 juta menerusi pemberian biasiswa dan dermasiswa untuk manfaat seramai 101,921 pelajar sekolah menengah dan penuntut institusi pengajian tinggi. — Bernama

Advertisement