Anda di sini

Hanya melibatkan susu segar

 Uggah mencuba susu kurma jenama FarmFresh sambil disaksikan oleh Kho (berdiri, kanan) semasa mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat Delizeuro Trading.
CUBA SENDIRI: Uggah mencuba susu kurma jenama FarmFresh sambil disaksikan oleh Kho (berdiri, kanan) semasa mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat Delizeuro Trading.
 Antara produk jenama FarmFresh yang selamat diminum kecuali susu segar (tengah) yang tidak dipasarkan sementara menunggu kelulusan JPVS.
SELAMAT DIMINUM: Antara produk jenama FarmFresh yang selamat diminum kecuali susu segar (tengah) yang tidak dipasarkan sementara menunggu kelulusan JPVS.

KUCHING: Penggantungan pengimportan susu segar ke Sarawak tidak melibatkan susu UHT (Ultra High Temperature) dan yogurt.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, notis penggantungan itu hanya melibatkan susu segar dan susu segar rendah lemak.

“Pengumuman penggantungan pengimportan susu segar dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) tidak melibatkan susu UHT dan yogurt, produk yang diproses.

“Kita mahu memberi penjelasan mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat pengimport utama produk FarmFresh di Sarawak, Delizeuro Trading di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, penggantungan import susu segar ke negeri ini merupakan langkah berjaga-jaga untuk memastikan Sarawak terus bebas daripada penyakit kuku dan mulut (HMD).

“Kita mahu memastikan semua produk ini tidak akan membahayakan situasi di Sarawak dan pada masa sama kita mahu prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi jika ada pihak yang mahu mengimport produk ini.

“Hal ini akan kita bincang secara terperinci dengan JPVS,” katanya sambil menambah penggantungan itu dikenakan kepada empat syarikat yang mengimport susu segar dari Semenanjung Malaysia.

Tambahnya, JPVS akan memaklumkan kepada umum sebaik penggantungan itu ditarik balik.

Pada 4 Februari lalu, JPVS mengeluarkan notis mengenai penggantungan pengimportan susu segar ke Sarawak.

Pengarah JPVS Dr Adrian Susin Ambud berkata, langkah itu diambil bagi mengawal selia pengimportan bagi memastikan negara pengeksport dan status penyakit HMD di negara berkenaan.

Sementara itu, Alex Kho dari Delizeuro Trading berkata, susu segar dan susu segar rendah lemak jenama FarmFresh ditangguh sementara pengimportannya ke Sarawak sehingga mendapat kelulusan daripada JPVS.

“Kita telah mengemukakan dokumen bersama dokumen sokongan kepada JPVS sebagai mematuhi peraturan mengimport susu segar ke Sarawak.

“Kami dimaklumkan buat masa ini pengimportan susu segar dan susu segar rendah lemah ditangguh sementara sehingga notis selanjutnya (daripada JPVS),” jelasnya.

Tambahnya, buat masa ini produk susu segar dan susu segar rendah lemak jenama FarmFresh tidak akan dipasarkan sehingga mendapat kelulusan daripada JPVS.

“Bagi jenama FarmFresh, hanya susu segar dan susu segar rendah lemak digantung pengimportannya, produk-produk lain seperti susu UHT, susu kurma dan yogurt tidak terkesan,” katanya.

Advertisement