Anda di sini

Ekonomi Malaysia berkembang 4.7 peratus pada 2018: BNM

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.7 peratus pada suku keempat tahun lepas, membawa kepada pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan sebanyak 4.7 peratus pada 2018, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Pertumbuhan itu lebih perlahan daripada 5.9 peratus dicatatkan pada 2017.

Pada 2018, ekonomi berkembang 5.4 peratus pada suku pertama, 4.5 peratus pada suku kedua dan 4.4 peratus pada suku ketiga.

Pada sidang media untuk mengumumkan pertumbuhan KDNK, Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pertumbuhan sebanyak 4.7 peratus dalam ekonomi tahun lepas, disokong oleh aktiviti sektor swasta yang berdaya tahan dengan gangguan bekalan sementara.

Pada suku keempat, aktiviti sektor swasta kekal sebagai pemacu pertumbuhan yang utama, manakala peningkatan semula dalam eksport barangan dan perkhidmatan menyumbang kepada pertumbuhan eksport bersih yang positif.

Dari segi penawaran, sektor utama terus berkembang.

Sementara itu, BNM dalam kenyataan berkata sektor perkhidmatan disokong oleh pengukuhan yang berterusan dalam perbelanjaan pengguna, terutamanya dalam segmen runcit, manakala pertumbuhan dalam sektor pembuatan terus didorong oleh kluster elektronik dan elektrik (E&E) dan yang berkaitan pengguna.

Sektor berkaitan komoditi terus pulih daripada gangguan pengeluaran yang dialami sejak suku tahun kedua, dengan pertumbuhan lebih tinggi dalam sektor perlombongan dan pertanian.

Inflasi teras merosot kepada 0.3 peratus (suku ketiga 2018: 0.5 peratus), sebahagian besarnya disebabkan inflasi pengangkutan yang menjadi negatif.

Hasil gabungan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar dan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terus memberi impak penurunan secara keseluruhan kepada inflasi teras pada suku tahun tersebut.

Mengenai masa depan, permintaan sektor swasta dijangka terus menjadi pemacu pertumbuhan yang utama dengan rasionalisasi fiskal yang berterusan, manakala sektor luaran dijangka rendah dengan permintaan global yang sederhana.

Inflasi teras dijangka berpurata pada paras sederhana tinggi.

Bagaimanapun, impak daripada dasar cukai penggunaan kepada inflasi teras pada 2019 akan mula berkurangan pada akhir tahun ini.

Inflasi asas, yang tidak termasuk impak daripada perubahan dalam dasar cukai penggunaan, dijangka stabil pada 2019, tanpa tekanan permintaan yang kuat. — Bernama

Advertisement