Anda di sini

Urus niaga saham Hartalega aktif susulan prospek pertumbuhan kukuh

Advertisement

KUALA LUMPUR: Saham Hartalega Holdings Bhd diniagakan secara aktif semalam susulan prospek pertumbuhan kukuh.

Pada jam 11.32 pagi, saham Hartalega susut satu sen kepada RM5.44 dengan 2.39 juta saham didagangkan.

Kenanga Research dalam nota penyelidikan semalam berkata pengoperasian Plant 5 Hartalega di kompleks pembuatan sarung tangan bersepadu generasi berikutnya (NGC) akan meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat dan memacu pertumbuhan pendapatan bagi tahun kewangan 2019.

Firma penyelidikan itu berkata Hartalega telah melaksanakan pengoperasian di enam daripada 12 barisan di Plant 5 dengan baki barisan pengeluaran akan bermula secara progresif menjelang separuh pertama 2019.

“Sebaik sahaja siap, Plant 5 dijangka meningkatkan kapasiti sebanyak 14.5 peratus kepada 37.2 bilion keping sarung tangan setahun,” katanya.

RHB Research dalam nota berasingan berkata Hartalega dijangka berdepan persekitaran perniagaan yang mencabar berikutan peningkatan persaingan dan kenaikan kos susulan peningkatan gaji minimum berkuat kuasa Januari 2019.

Bagaimanapun, katanya prospek jangka panjang syarikat kekal optimistik disandarkan pada peningkatan permintaan terhadap sarung tangan, langkah perluasan NGC yang sedang dijalankan dan potensi pertumbuhan perkongsian pasaran bagi sarung tangan antimikrob (AMG).

Public Investment Bank dalam nota lain berkata dengan pelancaran AMG Hartalega, syarikat itu setakat ini telah menerima tempahan pelanggan daripada lebih 10 negara.

“Ketika ini, Hartalega sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) untuk memasuki pasaran AS yang profesional penjagaan kesihatannya mempunyai tahap kesedaran lebih tinggi mengenai bahaya jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan. Ia menyasarkan untuk mendapat kelulusan itu menjelang akhir 2019,” katanya.

Kenanga Research telah menaikkan saranannya ke atas Hartalega kepada ‘Market Perform’ daripada ‘Underperform’ tetapi mengekalkan harga sasaran pada RM5.15.

Sementara itu, RHB mengekalkan gesaan ‘Beli’ ke atas Hartalega dengan harga sasaran pada RM6.18, manakala Public Investment Bank mengekalkan pandangan ‘Neutral’ dengan harga sasaran pada RM5.63 terrhadap pengeluar sarung tangan itu. — Bernama

Advertisement