Anda di sini

Nilai pasaran halal dunia cecah USD6.9 trilion pada 2023 

Advertisement
Khairul Nizam
Khairul Nizam

KUCHING: Nilai pasaran industri halal dunia dijangka mencecah USD6.9 trilion menjelang 2023 berbanding USD4.3 trilion pada 2017. 

Timbalan Pengarah Seksyen Halal, F&B dan Asas Tani, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Khairul Nizam Moonier berkata dalam masa enam tahun ini, pasaran halal meningkat 50 peratus dan antara industri yang bertumbuh sangat pesat.  

Pertumbuhan pesat industri halal ini adalah disebabkan peningkatan populasi muslim dunia daripada 1.8 bilion pada 2018 kepada 2.5 bilion pada 2050. 

“Ini adalah sesuatu yang kita tidak boleh abaikan dan sebab itu negara bukan Islam kini aktif terlibat dan mempromosikan industri halal,” katanya kepada pemberita pada Seminar Peluang Eksport dalam Industri Halal anjuran MATRADE di salah sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini. 

Tambah Khairul, Malaysia merupakan negara terkemuka dalam industri halal dan MATRADE giat berusaha untuk mengembangkan lagi industri ini ke satu lagi tahap sama ada dalam sektor produk mahupun perkhidmatan. 

Dari segi potensi eksport produk dan perkhidmatan halal dari Sarawak pula, Khairul berkata banyak produk yang boleh diketengahkan bukan sahaja berasaskan makanan tetapi juga produk kraftangan. 

Sarawak katanya ada keunikan cuma mungkin kurang kesedaran dalam kalangan syarikat tempatan di negeri ini berhubung peluang-peluang eksport dalam industri halal ini. 

“Industri halal bertumbuh dengan pesat malah pengeksport utama produk halal adalah negara bukan Islam manakala kita Malaysia sebagai negara Islam merupakan pengimport utama produk halal. 

“Ini bukan soal agama tetapi kebersihan dalam proses pemprosesan produk dari ladang hingga ke garpu yang menepati piawaian pensijilan halal. 

“Sebab  itu kita perlu mengadakan lebih banyak program bersama syarikat-syarikat tempatan Sarawak supaya mereka dapat merebut peluang pasaran halal ini,” katanya menambah kurang daripada 500 syarikat Sarawak mendaftar sebagai ahli MATRADE dan tidak sampai 200 syarikat mempunyai pensijilan halal.  

  • oleh
  • Advertisement