Anda di sini

CITREX 2019 catat rekod penyertaan paling ramai

 Dr Daing (tengah) melihat robot yang dihasilkan oleh para peserta ketika hadir pada Anugerah Kecemerlangan Pertandingan Pameran Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2019 di UMP Kampus Gambang, Kuantan semalam.  — Gambar Bernama
TERTARIK: Dr Daing (tengah) melihat robot yang dihasilkan oleh para peserta ketika hadir pada Anugerah Kecemerlangan Pertandingan Pameran Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2019 di UMP Kampus Gambang, Kuantan semalam. — Gambar Bernama

KUANTAN: Tiga universiti awam dalam rangkaian universiti teknikal negara (MTUN) buat julung kalinya menyertai Ekspo Reka Cipta, Inovasi, Teknologi dan Penyelidikan (CITREX) 2019 anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang diadakan dua hari berakhir semalam.

Naib Canselor UMP Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim berkata tiga buah universiti MTUN berkenaan ialah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

“Penglibatan ketiga-tiga universiti ini dalam CITREX 2019 membuktikan kematangan penganjuran pertandingan melalui perluasan kategori penyertaan kepada universiti lain berbanding hanya penyelidik di UMP sebelum ini.

“Ia juga dilihat memberi isyarat kepada pengembangan potensi dan peluang besar CITREX pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan dan penyampaian hadiah CITREX 2019 di UMP Kampus Gambang, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Prof Datuk Dr Mashitah Mohd Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff.

Dr Daing Nasir berkata penganjuran pada tahun ini mencatatkan rekod apabila menerima penyertaan yang paling banyak iaitu 407 penyertaan sejak mula diadakan sembilan tahun lepas.

“Pada tahun ini kita menerima 203 penyertaan daripada pensyarah UMP, 13 penyertaan daripada MTUN, 173 penyertaan pelajar UMP, dan 18 penyertaan pelajar sekolah menengah.

“Jumlah ini meningkat berbanding 335 penyertaan pada tahun lalu dan ini merupakan petanda yang baik dalam menggalakkan penghasilan kreativiti dan inovasi dalam masyarakat,” katanya.

Beliau turut melahirkan  rasa bangga kerana CITREX dapat menjadi medium penggalakan dan penyuburan budaya inovasi di kalangan universiti awam di negara ini khususnya UMP sendiri.

“Ia juga mendukung aspirasi UMP untuk memasyarakatkan teknologi menerusi galakan terhadap penyuburan Sains-Teknologi-Membaca-Kejuruteraan-Seni-Matematik (STREAM) dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya. — Bernama