Anda di sini

Anggota polis didakwa atas tiga pertuduhan rasuah

 Anggota SPRM membawa Abdul Qayum yang dituduh atas tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Seremban semalam. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Anggota SPRM membawa Abdul Qayum yang dituduh atas tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Seremban semalam. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Seorang ketua balai Polis Tanah Merah, Port Dickson mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tiga pertuduhan rasuah, lima tahun lepas.

Tertuduh Abdul Qayum Vekapady Abdullah, 59, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai RM500 daripada M. Moorthy sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan dan memberi perlindungan kepada lori-lori yang digunakan Moorthy yang melalui kawasan pentadbiran Balai Polis Tanah Merah.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah meminta suapan berbentuk telefon bimbit daripada individu  yang sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan dan memberi perlindungan kepada lori-lori yang digunakan Moorthy yang melalui kawasan pentadbiran Balai Polis Tanah Merah.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Lot 7271, Pekan Tanah Merah Utara, Kampung Baru Site C, Port Dickson, pada jam 1.40  hingga 2.10 petang, 5 Mac 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai RM1,000 daripada individu sama untuk memberi sebuah telefon bimbit Iphone 5 yang mana telefon itu adalah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan dan memberi perlindungan kepada lori-lori yang digunakan Moorthy yang melalui kawasan pentadbiran Balai Polis Tanah Merah.

Kesalahan itu dilakukan di Restoran Old Town White Coffee, Port Dickson pada jam  3.40 petang, 6 Mac 2014.

Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, Abdul Qayum didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang juga boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordiyanah Mohd Nawawi dan Karmila Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam Rajinder Singh.

Nordiyanah memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM21,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala Rajinder dalam rayuan memohon mahkamah mengenakan hukuman yang rendah terhadap anak guamnya.

Junaidah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen. — Bernama