Anda di sini

AmorePacific Malaysia sasar jualan dan untung naik 20%

Advertisement

KUALA LUMPUR: Syarikat produk kecantikan global, AmorePacific Malaysia Sdn Bhd menyasarkan pertumbuhan jualan dan keuntungannya berkembang 20 peratus tahun ini, dipacu oleh perluasan portfolio jenama dan saluran jualan, serta rancangan pemasaran lebih meluas.

Pengurus Besar AmorePacific Malaysia, Margaret Chin berkata syarikat itu, unit milik penuh AmorePacific Corp berpangkalan di Korea Selatan, telah melepasi sasaran jualannya bagi Januari.

“Kami mahu memulakan tahun ini dengan positif, dan kami percaya kami dapat mencapai angka yang kami unjurkan,” kata Chin kepada Bernama semasa ditemu bual baru-baru ini.

Syarikat memperuntukkan RM10 juta bagi modal mengurus tahun ini dan kira-kira 15 peratus daripada jualan bersihnya diperuntukkan untuk pengiklanan dan promosi.

Kumpulan itu baru-baru ini melancarkan kedai jenama pertamanya, bagi barisan penjagaan rambut Ryo dan merancang melancarkan barisan penjagaan rambut profesional untuk salon, Amos Professional menjelang akhir tahun ini.

Ia juga akan memperkenalkan jenama baharu - HERA, Mise En Scene dan Happy Bath menjelang tahun depan.

“HERA ialah jenama mewah, bersaing dengan jenama seperti Nars dan YSL, jadi kami mencari lokasi eksklusif seperti Pavilion atau KLCC bagi kedai pemangkin,” katanya.

Bagi jenama sedia ada, Chin berkata AmorePacific akan meneruskan usaha untuk perluaskannya ke pusat beli-belah baharu dan bandaraya peringkat kedua.

“Sebagai contoh, empat jenama akan ditempatkan di pusat beli-belah South Quay Mall di JB dan Central iCity Shopping Centre di Shah Alam,” katanya.

Chin berkata syarikat juga akan menembusi lebih banyak platform dalam talian khususnya pada masa sekarang, kerana ia sudah mempunyai pasukan e-perdagangan yang mantap.

Portfolio perniagaan AmorePacific termasuk lebih 30 jenama khusus untuk memenuhi permintaan pengguna.

Antara jenama berkenaan, lima jenama terkemukanya di peringkat global – Sulwhasoo, Laneige, Mamonde, Innisfree dan Etude terdapat di Malaysia.

Malaysia ialah pasaran terbesar bagi jenama Laneige di Asia Pasifik.

Chin berkata syarikat juga telah diperluas ke Malaysia Timur dan baru-baru ini membuka gudangnya di Kota Kinabalu pada September 2018 untuk memenuhi keperluan pasaran.

Ketika ini ia mempunyai lapan cawangan dan merancang menambah dua lagi menjelang akhir tahun.

“Kota Kinabalu mencatatkan jumlah tinggi ketibaan pelancong, terutamanya daripada Korea dan China. Ia menyumbang kepada pertumbuhan jualan yang boleh mencapai 40 hingga 50 peratus setahun,” katanya.

Chin berkata AmorePacific mencatatkan prestasi baik tahun lepas walaupun ekonomi global yang perlahan, persaingan sengit dan penyusutan perniagaan kedai sebaneka turut memberi kesan terhadapnya.

“Kami juga menyaksikan penurunan ketara pelancong China yang biasanya ramai datang ke Malaysia pada suku keempat. Di sebalik semua cabaran berkenaan, jualan dan keuntungan kami naik 24 peratus daripada tahun sebelumnya,” katanya.

Pasaran produk kecantikan dan kosmetik di Asia Pasifik ketika ini mengalami pertumbuhan pesat kerana mempunyai ramai generasi muda, dengan Malaysia antara pasaran utama AmorePacific di samping Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Baru-baru ini ia membuka pejabat di Filipina dan Australia.

AmorePacific juga sedang membina kompleks penyelidikan dan pengeluaran di Johor Bahru, yang akan berfungsi sebagai habnya di rantau ASEAN bagi penyelidikan dan pengeluaran kosmetik halal.

“Awalnya ia dirancang dibuka pada 2020 tetapi akan berlaku kelewatan dua tahun kerana terdapat perubahan dalam peraturan.

“Sebaik sahaja fasiliti ini siap dan beroperasi, kami pastinya akan memperluas tawaran produk kami dan fasiliti baharu juga akan mengeluarkan produk halal untuk pasaran global,” katanya.

Kumpulan itu melabur AS$170 juta (kira-kira RM691 juta) pada 2016 bagi pusat bersepadu untuk penyelidikan dan pembangunan, pembuatan dan logistik produk komestik yang terletak di tapak seluas 10 hektar di Johor.

Dengan pembinaan fasiliti baharu itu, AmorePacific jangka dapat mewujudkan antara 300 dan 500 kerja baharu. — Bernama

Advertisement