Anda di sini

Tiga rumah cemas dimasuki ular dapatkan khidmat APM Miri

Advertisement
 Ular sawa yang berjaya ditangkap ketika menjalar ke dalam saluran paip yang pecah di sebuah rumah di Lutong awal pagi Ahad lalu.
TANGKAP: Ular sawa yang berjaya ditangkap ketika menjalar ke dalam saluran paip yang pecah di sebuah rumah di Lutong awal pagi Ahad lalu.

MIRI: Seorang suri rumah di Taman Sze Chuan 2 di sini, ketakutan selepas menyedari ada seekor ular hitam menyusup ke dalam rumahnya ketika beliau sedang menjemur pakaian di halaman sekitar jam 8 pagi semalam.  

Wanita berusia 40 tahun itu memberitahu, ular hitam dipercayai spesies tedung selar itu dilihat menjalar ke arah stor penyimpanan barang di rumahnya.  

Bimbang dengan keselamatan ahli keluarga, beliau kemudian menghubungi talian 999 untuk meminta bantuan menangkap ular tersebut.

Tiga anggota Skuad Delta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya menangkap ular tedung selar itu sepanjang tiga meter itu menggunakan peralatan khas.

Sementara itu, pada malam Ahad lalu, pasukan APM Miri turut menangkap seekor ular tedung selar yang bersembunyi di belakang sebuah rumah di Jalan Riam, Taman Hilltop di sini.

Terdahulu, pasukan APM menerima panggilan kecemasan jam 7.05 malam daripada seorang lelaki, 43, yang memberitahu  ternampak kelibat seekor ular berwarna hitam di belakang kotak kosong di halaman rumahnya.

Bimbang dengan kehadiran reptilia berbisa itu, beliau kemudian menghubungi nombor talian kecemasan meminta bantuan menangkap ular tersebut.

Pasukan APM Miri yang terdiri daripada tiga anggota memeriksa kawasan dimaksudkan dan berjaya menemui seekor ular tedung selar sepanjang dua meter lalu menangkapnya menggunakan peralatan khas yang disediakan.

Pada awal pagi hari yang sama (Ahad), sekitar jam 2 pagi, seorang wanita yang baharu pulang berkunjung sempena Tahun Baharu Cina tergamam melihat seekor ular sawa menjalar di dalam longkang menuju ke halaman belakang rumah mereka di Lutong.

Beliau yang ketakutan memaklumkan perkara itu kepada anak lelakinya yang berusia 27 tahun yang bertindak pantas menghubungi APM untuk mendapatkan bantuan menangkap ular tersebut.

Anggota APM yang tiba memeriksa di sekitar longkang rumah pengadu dan berjaya menemui seekor ular sawa sepanjang dua  meter.

Ular tersebut berjaya ditangkap dalam saluran paip dengan menggunakan peralatan khas.

Advertisement