Anda di sini

Tiga lelaki ditahan dalam serbuan antidadah di Sibu

Advertisement
STANLEY
STANLEY

SIBU: Tiga lelaki ditahan secara berasingan termasuk seorang di bilik sebuah hotel terkemuka di sini kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berumur 30 tahun telah dilakukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Sibu diketuai ASP Steve Langir di bilik hotel terbabit pada jam 12.25 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak kami telah menjumpai satu beg kanvas kecil warna hitam dalam poket seluar yang dipakai suspek dan apabila diperiksa didapati empat peket plastik lutsinar pelbagai saiz yang berisi pepejal kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 13.7 gram,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu katanya, polis juga menjumpai satu papan mengandungi 10 biji pil bersalut kerajang timah perak/merah yang disyaki dadah jenis Nimetazepam dengam berat kasar 3.1 gram.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai 21 rekod lampau narkotik.

Pada jam 12.45 petang itu, polis juga menahan dua lagi lelaki menaiki sebuah kereta di kawasan tempat letak kereta berhadapan Terminal Ekspres Penumpang Sibu di Jalan Khoo Peng Loong.

Katanya, pemeriksaan polis kemudian menjumpai satu kotak bertulisan ‘Sheng Hai’ mengandungi satu peket plastik lutsinar berisi pepejal kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 12.50 gram.

“Pemeriksaan lanjut mendapati satu peket plastik lutsinar di dalamnya terdapat lima peket plastik lutsinar kecil berisi pepejal kristal disyaki dadah jenis Metahmphetamine dengan berat kasar 3.50 gram, tiga papan yang mengandungi 30 biji pil yang disyaki dadah jenis Nimetazepam dengan berat kasar 9.30 gram,” katanya.

Katanya lagi, polis juga menjumpai satu alat timbang, satu peket plastik lutsinar di dalamnya terdapat plastik-plastik kosong yang diselitkan di bahagian bawah stereng kereta tersebut.

Jelasnya, kedua-dua suspek berumur 30-an yang mempunyai enam rekod lampau narkotik kemudian dibawa ke lokap polis untuk siasatan lanjut.

Kedua-dua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala lelaki berumur 30 tahun disiasat dibawah Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12 (2) akta yang sama.

“Hasil saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati kesemua mereka positif dadah dan akan direman untuk tindakan lanjut,” tambah Stanley.

Advertisement