Anda di sini

SOP NUR Alert dikaji semula

Advertisement

SEMENYIH: Prosedur Operasi Standard (SOP) NUR Alert akan dikaji semula dalam menangani kes kehilangan kanak-kanak, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu penting kerana polis memandang serius kes kehilangan melibatkan kanak-kanak.

“Kami menerima aduan tidak kira rakyat Malaysia atau bukan warga negara berhubung kes kehilangan kanak-kanak dan kes ini tidak sesekali dipandang remeh oleh polis.

“Polis akan mengkaji semula SOP NUR Alert kerana setiap laporan melibatkan kehilangan kanak-kanak dan warga tua akan ditangani dengan lebih serius,” katanya selepas menghadiri program lawatan kerja Menteri Dalam Negeri di Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa NUR Alert tidak diaktifkan pada 30 Januari lalu, selepas polis menerima laporan kehilangan kanak-kanak Siti Masitah Ibrahim, 11, yang dibunuh kejam di Pekan, Pahang.

Mengulas lanjut perkara itu, Noor Rashid menegaskan bahawa kes itu tidak mempunyai kaitan dengan sindiket penjualan organ.

“Ketua Polis Pahang sudah mengeluarkan kenyataan dan saya ingin sekali lagi menegaskan kes ini bukan kes penjualan organ,” katanya.

Sabtu lepas, kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu ditemui dalam keadaan tragik dengan kepalanya terpisah daripada badan, tangan dan kaki diikat serta beberapa organ dalaman didakwa tidak dijumpai, di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan di Pahang.

Mayat Siti Masitah ditemui penduduk kampung pada kira-kira jam 5 petang selepas mangsa dilaporkan hilang pada 30 Jan lalu.

Sementara itu ditanya mengenai penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja, Noor Rashid enggan mengulas lanjut dan hanya berkata: “Saya percaya rundingan dari Sarawak akan membawa pulang kesemua mereka”.

Sebelum ini akhbar melaporkan hasrat 47 rakyat Malaysia yang mencari pekerjaan di Kemboja bertukar menjadi mimpi ngeri apabila ditahan pihak berkuasa negara itu kerana disyaki terlibat sindiket judi dalam talian.

Berdasarkan maklumat, 44 yang ditahan itu berasal dari Sarawak dan berusia antara 18 dan 20 tahun.

Kesemua mereka berlepas ke Kemboja pada 9 Dis dan ditahan pada 11 Disember di sebuah rumah di Poipet, Banteay Mancheay di pinggir Phnom Penh atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram. — Bernama

Advertisement