Anda di sini

SME Corp, Bank Dunia jalin usaha sama pertingkat PKS tempatan

Advertisement

KUALA LUMPUR: SME Corporation Malaysia (SME Corp) bekerjasama dengan Bank Dunia untuk menjadikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan lebih relevan dalam ekonomi global, sesuai dengan trend semasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Noor Azmi Mat Said berkata SME Corp sedang mengumpul data PKS untuk dikongsi dengan institusi kewangan antarabangsa terbabit.

“Bank Dunia melakukan penyelidikan dan kajian secara teratur. Dengan berkongsi data, ia akan membolehkan Bank Dunia mengukur pembabitan kita dan hasil daripada pelbagai komuniti dalam industri (PKS).

“Mereka juga boleh memberi hasil kajian dari segi pertumbuhan (unjuran) selain cadangan mengenai sektor yang perlu difokuskan,” katanya kepada Bernama di luar Seminar Penyelarasan Indeks Dasar PKS ASEAN (ASPI), di sini semalam.

Beliau berkata SME Corp akan membuat susulan dengan Bank Dunia dan menjangka akan memeproleh maklum balas tahun ini.

Noor Azmi berkata kerajaan mahu mewujudkan lebih banyak syarikat pertumbuhan tinggi dan pada masa yang sama memberi perhatian yang lebih kepada sektor yang mendapat permintaan tinggi.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof yang merasmikan seminar itu berkata usaha yang dilaksanakan oleh Bank Dunia juga akan mendedahkan bidang-bidang yang memerlukan set kemahiran seperti sektor penerbangan dan lejar digital.

“Kami mahu memanfaatkan perkara ini dan tidak wajar hilang tumpuan. Semasa mengumumkan projek kereta Malaysia ketiga, sebagai contoh, ia bukan semata-mata untuk merealisasikannya, malah mengaplikasikan set kemahirannya,” katanya.

Beliau berkata untuk terus mempromosikan pembangunan PKS di Malaysia, kementerian dan agensi perlu menanda aras rangka dasar mereka dengan negara anggota ASEAN.

Dalam konteks ini, ASPI berperanan sebagai alat penilaian terbaik berdasarkan kerangka dasar yang komprehensif, sambil membolehkan penandaarasan, bukan sahaja bagi negara yang mengambil bahagian, malah amalan terbaik antarabangsa.

“Kami juga akan menyelaraskan PKS tempatan ke trend mega dan Revolusi Perindustrian 4.0 untuk mempercepat pertumbuhan. Ini akan dicapai melalui pendekatan strategi dua serampang untuk pertumbuhan tinggi dan firma inovatif serta perusahaan mikro.

“Ini merangkumi kejayaan firma pertumbuhan tinggi dan inovatif melalui bantuan yang disasarkan dalam automasi, mekanisasi, digitalisasi dan robot,” kata Mohd Redzuan. — Bernama

Advertisement