Anda di sini

SDF lancar usaha tawan semula wilayah terakhir dikuasai Daesh

 Seorang anggota Tentera Demokratik Syria (SDF) berdiri di atas trak pikap yang dipasang dengan senjata dekat Baghouz, wilayah Deir Al Zor, Syria pada Isnin. — Gambar Reuters
SIAP SIAGA: Seorang anggota Tentera Demokratik Syria (SDF) berdiri di atas trak pikap yang dipasang dengan senjata dekat Baghouz, wilayah Deir Al Zor, Syria pada Isnin. — Gambar Reuters

DEKAT BAGHOUZ: Pejuang Syria yang disokong oleh serangan artileri daripada tentera perikatan Amerika Syarikat (AS) memerangi serangan balas yang hebat oleh puak pelampau jihad dalam usaha untuk menawan semula sebahagian kecil wilayah terakhir daripada kumpulan Daesh dalam satu serangan yang berlaku selama berhari-hari.

Sebuah badan pemantau perang berkata serangan udara oleh perikatan mengorbankan 16 orang awam termasuk tujuh kanak-kanak yang cuba me-larikan diri dari tempat per-sembunyian pada Isnin, tetapi pakatan pimpinan AS tidak dapat dihubungi segera bagi mendapatkan kenyataan.

Lebih empat tahun selepas puak pelampau mengisytiharkan “pemerintahan khalifah” di beberapa bahagian yang besar di Syria dan negara jiran Iraq, beberapa serangan sudah mengurangkannya kepada kawasan tanah yang kecil di timur Syria.

Operasi terakhir untuk mengusir ratusan pelampau jihad yang tegar dari kawasan itu dekat sempadan Iraq diumumkan Sabtu lepas oleh Tentera Demokratik Syria (SDF) pimpinan Kurdish.

Pada Isnin perikatan AS meneruskan serangan bom yang konsisten ke atas kawasan berkenaan selepas SDF berdepan dengan tentangan yang sengit.

Bunyi letupan bergema puluhan kilometer jauhnya dan kepulan asap kelabu dapat dilihat dari wilayah SDF.

“Pertempuran sengit sedang berlaku untuk menekan Daesh agar menyerah diri,” kata Rami Abdel Rahman selaku ketua badan pemantau yang berpangkalan di Britain, Observatori Hak Asasi Manusia Syria.

Observatori itu berkata 12 pejuang SDF dan 19 pelampau jihad maut dalam pertempuran pada Isnin.

Jurucakap SDF Mustafa Bali berkata tentera membalas selepas Daesh melancarkan serangan balas pada awal Isnin.

Dia juga berkata “puluhan tebusan SGD ditahan oleh Daesh” di dalam kubu kuat terakhir mereka, tetapi menafikan laporan tentang pembunuhan.

Presiden AS Donald Trump pada Isnin berkata perikatan mereka mungkin akan mengisytiharkan kemenangan ke atas Daesh di wilayah ber-kenaan dalam masa beberapa hari akan datang.

“Pahlawan kita yang berani sudah membebaskan 100 peratus wilayah Daesh di Iraq dan Syria. Tidak lama lagi ia akan diumumkan, tidak lama lagi, mungkin dalam masa seminggu akan datang, mungkin kurang, tetapi ia akan diumumkan kita ada 100 peratus,” katanya di satu perhimpunan di bandar El Paso, AS. — AFP