Anda di sini

Promosi kepelbagaian etnik

Advertisement
 Abdul Karim (duduk tiga kiri) menyaksikan pereka fesyen yang terlibat dalam Alta Moda Sarawak bersama model yang memperagakan busana mereka selepas sidang media, semalam.
TERTARIK: Abdul Karim (duduk tiga kiri) menyaksikan pereka fesyen yang terlibat dalam Alta Moda Sarawak bersama model yang memperagakan busana mereka selepas sidang media, semalam.

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan sentiasa mengalu-alukan penganjuran acara yang mempromosikan kepelbagaian etnik di Sarawak termasuk melalui pertunjukan fesyen.

Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak tidak seperti tempat lain yang menjadi destinasi pelancongan membeli-belah, sebaliknya negeri ini mempunyai keunikan tersendiri untuk dipromosi iaitu perpaduan kepelbagaian kaum dan budayanya.

“Pereka tempatan khasnya mungkin boleh melahirkan pelbagai idea dalam rekaan mereka termasuk dengan menggunakan hasil kepelbagaian etnik yang kita ada.

“Saya percaya dengan adanya kepelbagaian budaya seperti daripada kaum Iban, Melayu, Bidayuh, Orang Ulu dan sebagainya yang menjadi idea kepada pereka menampilkan Sarawak untuk dikenali di dunia luar,” katanya pada sidang media mengenai Alta Moda Sarawak (AMS) di sini, semalam.

AMS iaitu jenama platform kepada pereka tempatan yang berkumpul menunjukkan bakat dan ciptaan mereka masing-masing dalam pertunjukan berprestij yang akan diadakan pada 7 hingga 9 Mac 2019 di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini.

Sehubungan itu kata beliau, kementeriannya menyokong usaha penganjur dengan berobjektifkan untuk mempromosikan Sarawak sebagai negeri dengan kepelbagaian kumpulan etnik dan budaya yang berlainan.

Katanya AMS mampu menjadi wadah untuk membantu serta menyokong pereka fesyen dan artis Sarawak kepada dunia luar sekali gus mempromosikan produk rekaan tempatan kepada mereka dari luar.

“Industri fesyen adalah industri berbilion dolar di seluruh dunia kerana ia melibatkan sekumpulan besar orang yang datang dari semua latar belakang kerja termasuk daripada hasil pengeluaran kepada reka bentuk dan pemasaran.

“Maka adalah sesuatu yang membanggakan untuk Alta Moda Sarawak kerana mempunyai objektif untuk mempromosikan Sarawak sebagai negeri yang terdiri daripada kepelbagaian etnik dan budaya yang berlainan.

“Saya yakin bahawa AMS akan menjadi acara tahunan yang berjaya mempromposikan Sarawak sebagai hab fesyen terkemuka di ASEAN seterusnya menarik minat pelancong untuk membeli produk pereka tempatan,” katanya.

Tambah Abdul Karim, selain itu penganjuran AMS juga dapat memainkan peranan sebagai salah satu pemangkin dan pemain utama dalam membantu menjana aliran kemasukan pelancong ke negeri ini di bawah inisiatif pelancongan Sarawak.

“Kami optimis AMS menjadi platform jenama bagi pereka Sarawak untuk bersama-sama mempamerkan bakat dan ciptaan mereka ke seluruh dunia,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement