Anda di sini

Penjenayah tegar diberkas, dadah turut dirampas

Advertisement
 Beberapa peket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah Methamphetamine yang dirampas daripada suspek kelmarin.
BARANG KES: Beberapa peket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah Methamphetamine yang dirampas daripada suspek kelmarin.

MIRI: Seorang penjenayah tegar diberkas dan sejumlah dadah dirampas hasil serbuan polis ke sebuah rumah di Krokop pagi kelmarin.

Berikutan tangkapan itu, suspek kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam mengesahkan tangkapan dan rampasan berhubung kes itu.

Katanya, bertindak atas maklumat diterima sepasukan anggota polis dari BSJND Miri telah membuat serbuan ke sebuah rumah di Lorong 9, Krokop di sini.

Dalam serbuan jam 10.20 pagi, 11 Februari lalu, polis telah menahan seorang lelaki kudung untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Polis yang membuat pemeriksaan lanjut di dalam bilik suspek telah menjumpai sebuah dompet berisi dua peket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat bersih 0.70 gram.

“Manakala pemeriksaan lanjut di dalam sebuah kereta turut menjumpai tujuh peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 5.49 gram,” katanya.

Menurut Lim, barang disyaki dadah itu kemudian dirampas untuk dijadikan barang kes dan suspek dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk menjalani ujian saringan awal air kencing.

Hasil ujian mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Sehubungan itu, suspek kemudian ditangkap mengikut Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dan menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Hasil siasatan lanjut, suspek turut mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” ujar beliau sambil menambah dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,000.

  • oleh
  • Advertisement