Anda di sini

Pembantu tadbir LIGS didakwa pecah amanah RM549,944.10

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang pembantu tadbir mengaku tidak bersalah, atas pertuduhan pecah amanah melibatkan wang tunai sebanyak RM549,944.10 di dalam peti Unit Pembelian Getah.

Suhaimi Hussain, 35, yang diamanahkan dengan harta syarikat terbabit, melakukan kesalahan itu semasa mengendalikan urusan pekerjaannya.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, melakukan kesalahan itu pada Januari hingga Disember tahun lalu di Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Cawangan Kuala Penyu, di daerah Beaufort.

SUHAIMI
SUHAIMI

Jika sabit salah atas pertuduhan berkenaan hukuman penjara tidak kurang tempoh dua tahun dan tidak melebihi 14 tahun dengan sebat, serta boleh dikenakan denda.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya Dinesh Raja membantah ikat jamin diberikan kepada tertuduh kerana melibatkan kesalahan yang serius.

Namun peguam Azhier Farhan Arisin meminta anak guamnya dibenarkan ikat jamin dengan mengambil kira faktor kesihatan.

"Tertuduh menderita penyakit asthma dan sekarang ini masih bekerja dengan LIGS. Mohon jaminan diberikan sementara menunggu kes selesai," katanya.

Menurutnya tertuduh tidak mempunyai risiko melarikan diri kerana berada dalam jaminan polis dan hadir di mahkamah dengan rela hati.

Tambahnya tertuduh tidak akan menggangu saksi-saksi pihak pendakwaan dan merayu sejumlah ikat jamin yang rendah diberikan.

Hakim Mahkamah Sesyen Azreena menetapkan pengurusan kes pada 25 Mac dan tarikh perbicaraan pada 22 hingga 24 April terhadap Suhaimi.

Tertuduh juga diperintahkan membayar ikat jamin sebanyak RM10,000 deposit penuh yang dicagarkan dua penjamin tempatan, serta melaporkan diri di balai polis terdekat sekali dalam sebulan.

Sementara itu Dinesh menyatakan pihaknya akan memanggil 15 saksi untuk memberikan keterangan.

  • oleh
  • Advertisement