Anda di sini

Pemain bola sepak pelarian kembali ke Australia

Advertisement
 Penyokong menyambut Araibi (tengah) ketika dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne di Australia pada Selasa. — Gambar Reuters
SELAMAT TIBA: Penyokong menyambut Araibi (tengah) ketika dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne di Australia pada Selasa. — Gambar Reuters

MELBOURNE: Pemain bola sepak pelarian Hakeem al-Araibi pulang dengan penuh kegembiraan ke Australia pada Selasa selepas dia menamatkan pengalaman pahit selama dua bulan yang menyaksikannya dipenjara di Thailand dan diugut dengan kepulangan tanpa kerelaannya ke negara asalnya Bahrain.

Sekumpulan penyokong yang memakai kemeja             #SAVEHAKEEM bersorak dan menyanyikan lagu bola sepak ‘You’ll Never Walk Alone’ ketika mereka me-nyambut pemain pertahanan berusia 25 tahun itu di Lapangan Terbang Melbourne, selepas penerbangan waktu malam menuju kebebasan dengan pesawat penerbangan 465 Thai Airways.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Australia,” kata Araibi dengan senyuman. “Ini adalah negara saya.”

“Saya belum ada kerakyatan lagi, tetapi negara saya adalah Australia. Saya akan mati di Australia dan saya sayang Australia,” katanya.

Araibi ditahan pada 27 November lalu ketika dia berbulan madu atas permintaan pihak berkuasa Bahrain yang menuduhnya melakukan kesalahan yang ada kaitan dengan pemberontakan ‘Arab Spring’ pada 2011.

Penahanannya mencetuskan kemarahan di seluruh dunia dan pertikaian diplomatik yang berlarutan antara Bahrain, Thailand dan Australia yang menimbulkan tanda tanya tentang sifat berkecuali Interpol dan writ Canberra bagi perlindungan pelarian.   

Araibi telah menyuarakan kebimbangan bahawa dia akan diseksa dan dibunuh jika dia pulang ke Bahrain dan penyokong berkata pendakwaannya didorong oleh politik.

Perdana Menteri Scott Morrison mengetuai perayaan bagi pembebasan Araibi, dan berkata doa ramai warga Australia telah terjawab.

“Kami tahu semua warga Australia amat menghargai keputusan itu, yang membolehkannya untuk kembali kepada isteri, keluarga dan rakannya.”

Morrison mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Thai, yang pada awalnya tidak menjawab rayuan bertulisnya untuk mengembalikan Araibi, tetapi tiba-tiba menggugurkan prosiding ekstradisi pada Isnin atas permintaan Bahrain.

“Kami telah dimaklumkan bahawa Bahrain mahu menarik balik permohonan (ekstradisi). Jika mereka tidak mahukannya, kami tidak ada sebab untuk menahannya di sini,” kata seorang ketua pengarah di pejabat pendakwa Thai, Chatchom Akapin, kepada AFP.

Kes itu juga telah menjadi isu kempen dalam dunia bola sepak, dengan bintang seperti Didier Drogba yang menuntut untuk pembebasan Araibi dan FIFA yang menggesa pihak berkuasa bola sepak Thai untuk campur tangan.

Badan bola sepak antarabangsa itu pada Isnin meng-ucapkan terima kasih kepada Thailand dalam satu kenyataan kerana “melakukan perkara yang betul” dan berkata ia berharap atlet itu “dapat menyambung semula kariernya dalam bola sepak tidak lama lagi”.

Bekas kapten bola sepak Australia, Craig Foster, yang mengetuai kempen dalam komuniti sukan untuk pembebasan Araibi, menyuarakan “kesyukuran yang amat mendalam” di atas berita itu.

“Ucapan terima kasih saya kepada rakyat Thailand yang hebat di atas sokongan anda dan kepada kerajaan Thai kerana menegakkan undang-undang antarabangsa,” Foster menulis dalam Twitter.

Sayed Ahmed Alwadaei, dari Institut Hak dan Demokrasi Bahrain, berkata kes itu telah mengetengahkan nasib orang lain yang dipenjara di negara itu.

“Dua peristiwa menarik perhatian dunia pada bulan ini: gambar pemain bola sepak Hakeem al-Araibi yang dirantai dan berkaki ayam, dan peristiwa di mana Hakeem memutus rantai dan bersatu semula dengan isteri tersayang, rakan dan komuniti bola sepak di Melbourne.”

Tindakan Bahrain menarik balik ekstradisi Araibi adalah mengejutkan.

Hanya pada minggu lepas, negara Teluk itu mengeluarkan satu kenyataan bagi mempertahankan keputusannya untuk memburu pemain bola sepak itu selepas dia lari ketika menunggu perbicaraan, dan dia disabit kesalahan ‘in absentia’ pada 2014 kerana merosakkan sebuah balai polis.

Namun Araibi berkata pendakwaannya didorong oleh kritikannya terhadap Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia, Sheikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa, seorang anggota kerabat diraja yang meme-rintah Bahrain.

Pembatalan itu berlaku sehari selepas menteri luar Thailand berjumpa dengan Putera Mahkota Salman bin Hamad al Khalifa di Manama, Bahrain, untuk “membincangkan perkara penting”, menurut agensi berita kerajaan Bahrain. — AFP

Advertisement