Anda di sini

Masyarakat pedalaman harus memanfaatkan tanah terbiar

Advertisement
 Dennis (duduk, lima kiri) dan Wan (kiri) bersama penduduk Penan Ba Kabeng pada majlis perasmian SARES di rumah panjang tersebut.
RASMI: Dennis (duduk, lima kiri) dan Wan (kiri) bersama penduduk Penan Ba Kabeng pada majlis perasmian SARES di rumah panjang tersebut.

BA KABENG, Hulu Baram: Walaupun masyarakat Orang Ulu dirahmati dengan kawasan tanah yang luas namun masih terdapat pemiliknya tidak memajukan tanah itu dengan aktiviti pertanian yang dapat menjana pendapatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, tanah merupakan aset paling berharga bagi masyarakat Orang Ulu, justeru amat merugikan sekiranya tanah milik mereka itu dibiarkan ditumbuhi belukar.

“Sehubungan itu, saya menyeru penduduk di pedalaman Baram khususnya masyarakat Penan dan Orang Ulu agar memanfaatkan sepenuhnya tanah terbiar mereka untuk menambah sumber pendapatan sekali gus meningkatkan taraf hidup.

“Isu tanah yang tidak diusahakan masih banyak dalam kalangan masyarakat Orang Ulu terutama masyarakat Penan dan ini perlu diambil kira untuk membolehkan mereka menikmati kualiti hidup lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Skim Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) menggunakan tenaga solar dan bangunan gereja baharu di penempatan Penan, Ba Kabeng dekat sini.

Dalam konteks ini, Dennis mencadangkan pemilik tanah di pedalaman agar mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian dan agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk membimbing mereka menjadi usahawan tani yang berjaya.

“Saya cadangkan penduduk di sini menanam tanaman mendatangkan keuntungan besar seperti nanas, kopi, pisang, cili dan tanaman lain memandangkan ia senang dijual dan wujudnya permintaan di pasaran sepanjang masa,” jelasnya.

Dennis turut menggesa ketua-ketua masyarakat dan ketua kampung mendapatkan maklumat dan pengetahuan mengenai tanaman tersebut daripada Jabatan Pertanian di Long Lama, Marudi atau Miri.

Beliau menambah, setakat ini hanya pertanian dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat di pedalaman dengan berkesan.

“Kita di pedalaman harus melipatgandakan usaha dan inisiatif membangunkan ekonomi dengan mengusahakan sepenuhnya tanah yang ada,” katanya.

Pada majlis itu, Dennis mengumumkan peruntukan sejumlah RM5,000 untuk membiayai aktiviti tahunan Ba Kabeng termasuk melengkapkan kemudahan gereja.

Sementara itu, SARES memberi manfaat kepada 40 pintu keluarga kaum Penan meliputi lebih 100 penduduk di rumah panjang itu.

Ketua Kampung Ba Kabeng Wan Jutang berterima kasih kepada Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Kerajaan Sarawak kerana menikmati bekalan elektrik secara percuma.

Hadir sama Isai Bala yang mewakili Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai, Presiden Persatuan Belia Orang Ulu Sarawak Spanski Steven dan wakil beberapa kampung sekitar Ba Kabeng.

  • oleh
  • Advertisement