Anda di sini

Mahkamah tangguh keputusan kes bapa simbah anak dengan air panas

Advertisement
 Eddy Noramin hadir di Mahkamah Majistret dekat Georgetown, semalam atas tuduhan menyimbah dua orang anaknya dengan air panas Disember lepas. — Gambar Bernama
TANGGUH: Eddy Noramin hadir di Mahkamah Majistret dekat Georgetown, semalam atas tuduhan menyimbah dua orang anaknya dengan air panas Disember lepas. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret di sini semalam menangguhkan keputusan terhadap seorang bapa yang mengaku bersalah menyimbah dua orang anaknya dengan air panas Disember lepas bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan laporan perubatan kedua-dua mangsa.

Majistret Rosnee Mohd Radzuan menetapkan 26 Feb ini bagi sebutan semula kes Eddy Noramin Ramli, 41, yang telah mengaku bersalah pada 10 Januari lepas terhadap dua pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh yang juga seorang ejen jualan kad prabayar didakwa dengan niat mencederakan anak perempuannya yang berumur sembilan tahun dengan menyimbahnya dengan air panas sehingga melecur di bahagian badannya.

Di bawah pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan perkara yang sama terhadap anak lelakinya yang berusia 10 tahun.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Flat Kampung Melayu, Ayer Itam di sini antara jam 1.00 pagi dan 2.00 pagi 28 Disember lepas dan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Laporan media sebelum ini menyatakan Eddy Noramin bertindak demikian selepas berang apabila makanan yang disediakan isterinya telah dihabiskan kedua-dua anaknya itu. — Bernama

Advertisement