Anda di sini

Lebih 3,500 atlet ‘berkampung’ di Kuching

Advertisement
 Snowdan (tengah) ketika memberi penjelasan pada sidang media bersama (dari kanan) Pulainthiran, Ong dan Karim. — Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
PENJELASAN: Snowdan (tengah) ketika memberi penjelasan pada sidang media bersama (dari kanan) Pulainthiran, Ong dan Karim. — Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Lebih 3,500 atlet olahraga veteran dijangka bertandang ke bandaraya Kuching bagi menyertai Kejohanan Olahraga Masters Asia Ke-21 (AMAC) dijadual berlangsung dari 2 hingga 6 Disember depan.

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan berkata meskipun jumlah penyertaan hanya dketahui selepas penyertaan mula dibuka pada Mei ini, pihaknya meletakkan sasaran sebanyak 45 negara dari serata Asia mengambil bahagian pada kejohanan berprestij itu.

“Kita membida kejohanan ini pada September 2017 di Rugao City, China. Ada negara lain turut berminat iaitu Indonesia dan India.

“Seramai 23 dari 25 delegasi Persatuan Olahraga Masters Malaysia (MMAA) bersetuju memilih Kuching sebagai tuan rumah,” katanya pada sidang media di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini semalam.

Menurut Snowdan, kejohanan itu cukup istimewa kerana menghimpunkan ramai atlet olahraga veteran berusia 35 tahun ke atas mengambil bahagian dalam pelbagai acara padang dan balapan.

Bagi menampung jumlah atlet yang ramai, dua venue dipilih sebagai lokasi pertandingan iaitu Stadium Negeri, Petra Jaya dan Stadium Sarawak, Petra Jaya.

Katanya, persiapan juga telah bermula sejak Januari lalu melalui kerjasama Perbadanan Stadium Sarawak (SSC) dan MMAA.

Snowdan menambah, kerajaan negeri juga bersetuju memperuntukkan dana berjumlah RM3 hingga RM4 juta bagi tujuan penganjuran kejohanan tersebut.

Promosi kejohanan itu diperhebatkan melalui pengagihan risalah pada Kejohanan Olahraga Masters Dunia di Sepanyol pada September 2018, Sukan Masters Asia Pasifik di Pulau Pinang pada September 2018 dan Kejohanan Olahraga Masters Antarabangsa Malaysia Ke-32 di Kuala Lumpur pada Oktober 2018.

“Pada kejohanan kali ini, kita memperkenalkan larian obor dan tidak pernah dibuat pada edisi sebelum ini.

“Tempat permulaan larian adalah di Singapura kerana merupakan negara pertama menganjurkan kejohanan tersebut ketika itu dikenali Kejohanan Olahraga Veteran Asian pada 1981,” katanya.

Menurut Snowdan, pihaknya menghantar surat kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi memohon sokongan melaksanakan acara larian obor kerana melibatkan dua negara.

Katanya, penyertaan hanya dibuat secara atas talian bemula dari Mei hingga 1 September depan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SSC Dr Ong Kong Swee, Presiden Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF), Datuk Karim Ibrahim dan Penaung MMAA, Datuk Seri Dr V Pulainthiran.

 
  • oleh
  • Advertisement