Anda di sini

Kontrak Terry Walsh tidak disambung: Subahan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kontrak perkhidmatan pengarah teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Terry Walsh yang berakhir pada penghujung Mac ini tidak akan disambung.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal ketika mengumumkan perkara itu berkata Walsh bersetuju untuk melepaskan jawatannya yang berakhir pada 31 Mac ini selepas mengambil kira nasihat daripada badan induk sukan itu.

Subahan berkata faktor utama kontrak Walsh tidak disambung adalah kekangan kewangan KHM yang kini perlu berjimat cermat dalam pengurusan persatuan itu.

“Terry (Walsh) bukan nama asing dalam pencapaian sukan hoki negara. Beliau banyak membantu skuad negara meraih pelbagai kejayaan.

“Masalah kewangan yang saya maksudkan itu adalah kami perlu berbelanja mengikut keperluan. Peruntukan yang ada perlu digunakan dengan lebih berhemah,” katanya pada sidang media di Pejabat KHM, Stadium Hoki Nasional Malaysia, Bukit Jalil  di sini semalam.

Subahan berkata KHM tidak bercadang untuk melantik individu lain bagi mengisi kekosongan jawatan itu ketika ini dan perbincangan semula akan dilakukan pada April ini.

Beliau percaya ketua jurulatih Roelant Oltmans dan pengurus pasukan Stephen Van Huizen mampu mengendalikan pasukan terutamanya menghadapi Siri Hoki Final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dari 23 April sehingga 1 Mei depan.

Penganjuran kejohanan itu membuka satu lagi ruang kepada Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun ia dilihat lebih sukar berbanding untuk memenangi pingat emas di Sukan Asia di Jakarta.

Selepas lebih tiga tahun bersama skuad hoki kebangsaan, Walsh berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat daripada badan induk sukan hoki.

“Selepas lebih tiga tahun sebagai pengarah teknikal MHC, saya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan dan saya telah memaklumkan kepada MHC mengenai keputusan saya.

“Saya berasa gembira kembali ke Malaysia dan bekerjasama dengan beberapa individu yang dikagumi. Seperti yang saya katakan semasa pelantikan saya bahawa terdapat banyak perubahan positif dalam pentadbiran sukan di sini. Saya juga percaya bahawa pasukan Malaysia ber potensi untuk menjadi antara pasukan terulung di dunia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada presiden MHC, Datuk Seri Subahan kerana terus memberi sokongan dan juga semua kakitangan MHC yang bekerjasama dengan saya sepanjang tiga tahun saya berkhidmat,” kata Walsh.

Walsh berkata, sebagai pengarah teknikal, dia menetapkan penanda aras prestasi berada dalam kedudukan sama rata atau di atas ranking dunia disandang Malaysia semasa kejohanan dan pasukan negara telah mencapai kedudukan itu dalam setiap kejohanan selama tiga tahun yang lalu.

Beliau juga percaya bahawa selepas 20 tahun menunggu, skuad lelaki negara akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan, dan beliau berharap pasukan Malaysia akan mencapai sasaran itu dan menggalakkan seluruh generasi baharu untuk mula beraksi dalam sukan hoki di negara ini.

Beliau berkata Malaysia perlu kuat untuk Asia mengungguli sukan itu. — Bernama

Advertisement