Anda di sini

KBS menyokong Pelan B PFAM isu tunggakan gaji pemain

Advertisement
SYED SADDIQ
SYED SADDIQ

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyokong cadangan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk mewujudkan tabung khas bagi mengumpul dana menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain.

Namun Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagaimanapun berkata apa yang paling utama adalah kelab bola sepak harus memastikan mereka mengendalikan kewangan dengan lebih baik agar isu itu tidak berulang.

“Saya rasa bagus ada usaha untuk pelan B tapi pelan yang paling mustahak sekali adalah bagi memastikan kelab dari awal musim perlu mengendalikan kewangan mereka dengan lebih baik kerana  kebanyakan mereka menjanjikan gaji lumayan kepada pemain tetapi pada akhir musim tidak mampu tunaikan.

“Yang berjanji ialah kelab tapi yang ‘sakit’ adalah pemain kerana mereka sudah tandatangan kontrak dengan pasukan itu. Saya tidak mahu dengar alasan pelan perniagaan tidak menjadi sehingga menyusahkan pemain,” katanya kepada media selepas Majlis Anugerah Perkidmatan Cemerlang (APC) KBS di Seri kembangan, semalam.

Syed Saddiq berkata demikian mengulas mengenai isu tunggakan gaji dalam kancah bola sepak negara melibatkan lapan pasukan terhadap pemain yang mencecah hampir RM8.32 juta setakat musim lepas.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini mendedahkan enam pasukan iaitu Terengganu City FC, Felda United, PDRM, Pulau Pinang dan terkini Perlis berhutang RM4.48 juta membabitkan bayaran tertunggak kepada 22 pemain dan enam pegawai.

Dengan pendedahan itu, PFAM bercadang mengkaji kaedah berkenaan (tabung khas) sebagai pelan B sekiranya pemain terus menjadi mangsa tunggakan gaji.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq meminta pihak kepimpinan persatuan bola sepak negeri dan kelab untuk memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan.

Mengenai lima pemain yang tidak dilepaskan pasukan negeri dan kelab masing-masing bagi menyertai skuad Bawah 23 (B-23) negara bagi menghadapi Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-22 2019, Syed Saddiq berkata beliau hanya mampu memberi nasihat berhubung pekara itu.

“Dalam bab ini, saya bersama Datuk Ong Kim Swee (ketua jurulatih skuad B-23 negara). Bab ini, menteri tidak boleh campur tangan dengan persatuan cuma saya akan usahakan sebaik mungkin melalui saluran yang sedia ada, yang mampu saya lakukan tanpa ada elemen paksaan.

“Saya harap pengendali kelab negeri khususnya akan memberi sokongan padu kepada Kim Swee. Beri kerjasama adalah lebih baik untuk memartabatkan nama negara,” katanya.

Lima pemain yang tidak dilepaskan adalah pemain pertahanan, Muhammad Syahmi Safari (Selangor);  Muhammad Daniel Amier Norhisham dan Muhammad Zahril Azri Zabri (Felda United); Muhammad Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (Kedah).

Kejuaraan AFF B-22 2019 berlangsung pada 17-26 Feb dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan tuan rumah, Myanmar, Indonesia dan Kemboja, sementara Kumpulan A dibarisi Thailand, Filipina, Timor Leste dan Vietnam. — Bernama

Advertisement