Anda di sini

Inkues Adib: Koroner, pihak terlibat lawat lokasi kejadian

Advertisement
 Saksi kedua inkues, Md Elliza (tengah) menunjukkan tempat kejadian kepada peguam ketika melawat lokasi kejadian di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 Subang Jaya di Shah Alam, semalam. Md Elliza yang bertugas sebagai pemandu jentera FRT dari BBP Subang Jaya memberi keterangan pada prosiding hari kedua inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib. — Gambar Bernama
CARI BUKTI: Saksi kedua inkues, Md Elliza (tengah) menunjukkan tempat kejadian kepada peguam ketika melawat lokasi kejadian di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 Subang Jaya di Shah Alam, semalam. Md Elliza yang bertugas sebagai pemandu jentera FRT dari BBP Subang Jaya memberi keterangan pada prosiding hari kedua inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Prosiding hari kedua inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim bermula dengan Koroner Rofiah Mohamad melawat lokasi kejadian rusuhan berhampiran Kuil Sri Mahamariamman di USJ25, Subang Jaya dekat sini, semalam.

Beliau tiba kira-kira 11.20 pagi bersama beberapa pihak berkepentingan dan tiga saksi dalam kes itu yang mendapat liputan meluas pihak media.

Mereka disertai oleh pegawai-pegawai pengendali inkues, timbalan pendakwa raya Hamdan Hamzah, Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim Hamzah.

Turut hadir pasukan peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib serta peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Majlis Peguam.

Saksi kedua inkues, Md Elliza Mohd Noor kemudian dilihat memberi keterangan kepada koroner dan pihak terlibat di lokasi kebakaran kereta di tepi jalan berhampiran kuil.

Pemandu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya itu juga dilihat memberi keterangan di satu lokasi berhampiran kuil.

Kira-kira 50 pengamal media turut berada di lokasi berkenaan.

Pasukan prosiding inkues kemudian menuju ke BBP Subang Jaya bagi mendapatkan gambaran lebih dekat tentang kejadian tersebut bagi mengumpul maklumat mengenai van Emergency Medical Rescue Services (EMRS) yang dinaiki Muhammad Adib ketika rusuhan itu November lepas.

Pihak terlibat yang meluangkan masa kira-kira sejam turut mengumpul maklumat mengenai jentera (FRT) yang dikatakan melanggar van dinaiki Muhammad Adib.

Pasukan itu meninggalkan BBP Subang Jaya kira-kira 12.50 tengah hari.

Prosiding inkues bersambung kira-kira jam 2.30 petang semalam di Mahkamah Koroner di sini. — Bernama

Advertisement