Anda di sini

Dubravka ‘pemain paling dibenci’ di Newcastle

Advertisement
 Dubravka menangkap bola sebelum sempat disambar oleh pemain-pemain Wolves pada minit akhir permainan di Stadium Molineux pada Isnin lepas. — Gambar AFP
MASIH KEBAL: Dubravka menangkap bola sebelum sempat disambar oleh pemain-pemain Wolves pada minit akhir permainan di Stadium Molineux pada Isnin lepas. — Gambar AFP

WOLVERHAMPTON, England: Penjaga gol Newcastle United, Martin Dubravka menjejaskan harapan pasukannya untuk mengelak penyingkiran untuk perlawanan kedua berturut-turut apabila kesilapan beliau pada lewat permainan menghadiahkan keputusan seri 1-1 untuk Wolves dalam aksi Liga Perdana Inggeris Isnin lepas.

Newcastle hanya kurang beberapa saat untuk mencipta kemenangan berharga selepas gol pertama Issac Hayden sejak 2017 meletakkan Newcastle di hadapan dalam separuh masa kedua perlawanan di Molineux.

Gol Hayden hadir selepas tepisan lemah dari penjaga gol Wolves, Rui Patricio.

Tetapi kegagalan Dubravka menangkap kemas bola mencuri perhatian dengan bola muntah ditanduk oleh Willy Boly untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit kecederaan.

Dubravka menjadi pemain paling dibenci di kelab selepas kesilapan terbaharu ini, yang berlaku beberapa hari selepas beliau membenarkan rembatan Son Heung-min lolos dari celah kakinya untuk memberikan Tottenham kemenangan 1-0 pada lewat permainan.

Dengan pemilik kelab, Mike Ashley turut hadir menyaksikan perlawanan, ia pastinya keputusan yang sukar untuk diterima pengurus kelab, Rafael Benitez, yang kelihatan enggan mempertahankan Dubravka apabila ditanya tentang gol penyamaan itu.

“Kami boleh melakukan yang lebih baik lagi. Bola seperti ini, anda boleh melakukan yang lebih bagus lagi, menumbuk keluar dan ia akan berakhir,” kata Benitez.

Ditanya jika beliau memikirkan Boly telah menolak penjaga golnya, Benitez menambah: “Ia tidak jelas walaupun melihat ulang tayang. Apa pun, ia sesuatu yang kami boleh pertahankan dengan lebih baik. Beliau (Dubravka) harus lebih lasak.

“Saya tidak gembira dengan beberapa keputusan tetapi secara keseluruhannya, saya fikir pengadil bermain dengan baik. Anda tidak perlu merungut.”

Newcastle kini hanya satu mata di atas zon penyingkiran tetapi boleh berkelebihan tiga mata jika menang.

Kembali dari kem latihan musim sejuk di Marbella, Wolves kelihatan masih di bercuti apabila Salomon Rondon diberikan banyak ruang untuk melakukan rembatan tetapi berjaya ditepis Patricio.

Wolves akhirnya mengimbangi permainan dan tidak bernasib baik kerana tidak diberikan tendangan penalti apabila Christian Atsu mengasari Raul Jimenez.

Jimenez hanya memerlukan satu gol untuk menjadi pemain Mexico kedua yang menjaringkan sejumlah dua angka gol dalam kempen Liga Perdana Inggeris selepas Javier Heranndez.

Beliau hampir mencapai mercu tanda itu apabila melakukan larian cantik dari kiri padang tetapi rembatan kencang beliau berjaya ditepis Dubravka.

Kedudukan terikat sehingga ke masa rehat dengan Dubravka kelihatan beraksi dengan baik untuk menebus kesilapannya ketika  menentang Tottenham.

Newcastle kemudian membuka jaringan pada minit ke-56 apabila Hayden menyempurnakan hantaran Fabian Schar dan walaupun Patricio berjaya menepis bola, ia tidak memadai untuk menghalang ia menerjah jaring.

Wolves bangkit dari gol itu dan mempunyai beberapa peluang tetapi Dubravka masih kebal, dengan menepis cubaan Diogo Jota dan juga tandukan Leander Dendoncker.

Tetapi ketika Newcastle membayangkan tiga mata penuh, hantaran tinggi Adama Traore cuba ditangkap oleh Dubravka tetapi terlepas dan bola terkena muka Boly dan masuk ke pintu gol pada minit ke-95. — AFP

Advertisement