Anda di sini

Amal sasar kuasai 60 peratus pasaran penerbangan haji dan umrah Malaysia

Advertisement
 Pramugari Amal oleh Malaysia Airline Syarifah Fadzlon Syed Hassan menunjukkan hidangan khas mesra jemaah bersama amenity kit yang akan dibekalkan kepada jemaah yang menaiki penerbangan perkhidmatan sewa khas menerusi Amal oleh Malaysia Airlines di Sepang, semalam. — Gambar Bernama
ADA DISEDIAKAN: Pramugari Amal oleh Malaysia Airline Syarifah Fadzlon Syed Hassan menunjukkan hidangan khas mesra jemaah bersama amenity kit yang akan dibekalkan kepada jemaah yang menaiki penerbangan perkhidmatan sewa khas menerusi Amal oleh Malaysia Airlines di Sepang, semalam. — Gambar Bernama

SEPANG: Amal, penyedia perkhidmatan sewa khas untuk haji dan umrah di bawah kendalian Malaysia Airlines menyasar untuk menguasai sehingga 60 peratus pasaran penerbangan haji dan umrah di Malaysia dalam tempoh satu ke dua tahun dari sekarang berbanding 50 peratus ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Amal, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata syarikat itu turut menyasar menguasai pasaran Indonesia sebanyak 10 peratus dan menerbangkan seramai 13,000 jemaah dari Thailand dalam tempoh yang sama.

“Inspirasi kami adalah untuk menjadi pengendali penerbangan haji dan umrah pilihan yang menghubungkan umat Islam terutamanya di Malaysia, Indonesia dan Thailand,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Amal oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di sini, semalam.

Hazman Hilmi berkata sasaran itu selaras dengan pelancaran Amal yang dahulunya dikenali sebagai Project Hope untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi pasaran penerbangan haji dan umrah.

Beliau berkata antara inovasi perkhidmatan yang disediakan Amal termasuk talbiah dalam pesawat, pengumuman waktu solat beserta laungan azan serta tazkirah ringkas sebelum mendarat untuk panduan dan peringatan jemaah serta hidangan mesra jemaah.

Menurutnya, Amal telah melancarkan penerbangan pertamanya pada Oktober 2018 dan kini beroperasi sebanyak tiga kali sehari ke Jeddah dan Madinah menggunakan pesawat A380-800.

“Kita juga menjangkakan Amal akan turut mengambil alih operasi Malaysia Airlines bagi penerbangan biasa dari Kuala Lumpur ke Jeddah dan Madinah menjelang April ini,”  katanya. — Bernama

Advertisement