Anda di sini

18 lokasi bangunan, premis mara akan dibina semula

Advertisement
 Rina (tiga kanan) diberi penerangan oleh pemilik Arina Fashion & Design Institute Asfarina Samion selaku pengendali kursus ‘Quick Win’ Seni Tangan Jahitan Kreatif KEMAS di Balai Raya Kampung Rincing Hilir sempena lawatan kerja ke Semenyih semalam. Turut kelihatan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Norison Ramli (tiga kiri). — Gambar Bernama
TERTARIK: Rina (tiga kanan) diberi penerangan oleh pemilik Arina Fashion & Design Institute Asfarina Samion selaku pengendali kursus ‘Quick Win’ Seni Tangan Jahitan Kreatif KEMAS di Balai Raya Kampung Rincing Hilir sempena lawatan kerja ke Semenyih semalam. Turut kelihatan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Norison Ramli (tiga kiri). — Gambar Bernama

SEMENYIH: Lapan belas lokasi bangunan dan premis lama milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan dikenal pasti untuk dibangunkan semula bertujuan menyediakan ruang niaga yang lebih kondusif.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kebanyakan bangunan dan premis milik MARA itu sudah berusia lebih 30 tahun dan memerlukan sentuhan wajah baharu mengikut perubahan zaman.

“Sebelum ini, kita lebih memberi tumpuan di kawasan Lembah Kelang. Kita rasa bangunan dan premis perlu dirobohkan, dibaik pulih dan dibina dengan konsep baharu.

“Adalah menjadi harapan kita supaya bangunan dan premis MARA ini tidak lagi dipanggil sebagai ‘old fashion’,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bazar MARA Semenyih, di sini, semalam.

Terdahulu, Rina merasmikan kursus Seni Tangan Jahitan Kreatif Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Balai Raya Kampung Rinching Hilir dan membuat lawatan ke Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Jalan Sungai Lalang.

Beliau berkata MARA giat menjalankan transformasi Premis Luar Bandar di bangunan dan premis lama yang bertujuan untuk menyediakan ruang niaga yang lebih selesa tetapi masih mampu milik.

“Di bawah usaha itu, MARA memberi fokus kepada tiga pendekatan iaitu membina bangunan baharu di atas tanah milik MARA sedia ada; merobohkan bangunan lama dan membina semula bangunan baharu di tapak itu; dan memberi wajah baharu kepada bangunan sedia ada,” katanya.

MARA menyasarkan sebanyak 10,000 lot perniagaan menjelang 2050 bagi membolehkan lebih ramai usahawan menerima manfaat menjalankan perniagaan.

Sehingga kini, MARA mempunyai pelbagai projek seluruh negara merangkumi 181 bazar, 119 arked, 189 lot komersial, 24 Kompleks Institut Mara dan enam Taman Industri Halal dengan 7,116 lot perniagaan di seluruh negara.

Advertisement