Anda di sini

WARISAN mampu bela kepentingan rakyat

Advertisement
 Noraini (tiga kanan) menyampaikan borang keahlian di pejabat Parti WARISAN Sabah di Kota Kinabalu.
YAKIN: Noraini (tiga kanan) menyampaikan borang keahlian di pejabat Parti WARISAN Sabah di Kota Kinabalu.

SANDAKAN: Keputusan mantan Ketua Wanita UMNO Sandakan, Noraini Sulong bersama kira-kira 1,000 ahli parti menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) dibuat bukan sahaja kerana mengutamakan kestabilan politik tetapi yakin bahawa WARISAN mampu membela rakyat.

“Kami yakin hanya parti yang memerintah atas majoriti pilihan rakyat yang mampu membela rakyat.

“Justeru, kami tidak teragak-agak dan tidak mahu membuang banyak masa hanya untuk `politiking sentiasa’, yang tidak mendatangkan faedah dalam usaha untuk membela rakyat,” katanya.

Beliau berkata, keputusan yang diambil itu adalah petanda sokongan penuh kepada ke-pimpinan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal dan kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kami yakin rakyat menyokong pendirian kami yang mengutamakan kestabilan politik di peringkat negeri malah juga di peringkat pusat,” katanya.

Noraini mengambil keputusan itu kerana yakin semua rakyat termasuk di Sabah memerlukan kestabilan politik dan tidak hanya dipengaruhi dengan momokan yang lebih bersifat politiking serta tidak menggambarkan realiti politik semasa.

Katanya, tindakan memainkan sentimen politiking kepartian yang jumud dan terlampau selepas PRU dibuat semata-mata untuk menjaga  kepentingan politik peribadi.

“Kami yakin hanya parti yang memerintah atas majoriti pilihan rakyat yang mampu membela rakyat,” katanya selepas menyerahkan borang  keahlian kepada parti di pejabatnya di ibu negeri.

Sebelum ini, Noraini menyertai Warisan dalam satu majlis yang dihadiri Setiausaha Agung WARISAN Loretto Padua di Sandakan pada 27 Januari lepas.

Ia adalah kenyataan beliau yang pertama selepas mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan menyertai WARISAN.

Menurutnya, dalam situasi politik sekarang, rakyat sangat memerlukan perpaduan yang kukuh untuk membina semula Sabah dan negara Malaysia agar lebih stabil dan sejahtera.

“Kami mengajak rakyat Sabah dan rakyat di seluruh negara agar berpijak pada realiti politik semasa untuk membentuk suasana dan iklim yang lebih stabil,” katanya.

Beliau menggesa agar rakyat meninggalkan cara-cara berpolitik yang boleh meretakkan perpaduan rakyat dan merugikan masa depan mereka.

“Kami yakin dalam konteks politik Sabah, sokongan padu kepada Ketua Menteri akan menjadikan iklim politik lebih stabil dan mampu memberi ruang kepada kerajaan meneruskan agenda membela kepentingan rakyat,” katanya.

Menurutnya, di bawah kepimpinan Shafie, WARISAN menjadi wakil kepada rakyat Sabah dan rakan sekutu PH di peringkat persekutuan yang kuat serta berpengaruh dalam menyampaikan hasrat politik rakyat Sabah.

Dengan sokongan yang kuat dan padu, mereka yakin WARISAN mampu wujud sebagai parti politik dari Sabah yang memiliki autonomi politik tersendiri dalam usaha membela hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Advertisement