Anda di sini

Sarawak negeri pertama menubuhkan Unit Integriti

 Abang Johari (duduk tengah) serta tetamu kenamaan yang lain merakam gambar bersama peserta Majlis Amanat Perdana Integriti 2019 di PCC Demak semalam. — Gambar Chimon Upon
KENANGAN: Abang Johari (duduk tengah) serta tetamu kenamaan yang lain merakam gambar bersama peserta Majlis Amanat Perdana Integriti 2019 di PCC Demak semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Unit Integriti diketuai pegawai integriti bertauliah (CEIO) akan ditubuhkan di semua kementerian dan jabatan Kerajaan Sarawak termasuk badan berkanun negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak merupakan negeri pertama mengambil inisiatif ini sebagai komitmen meningkatkan integriti di kalangan penjawat awam.

Bagi tujuan itu, Kursus CEIO dilancarkan semalam bagi melatih 40 penjawat awam negeri termasuk daripada badan berkanun negeri untuk ditempatkan di setiap unit itu nanti.

Bukan itu sahaja, mulai semalam seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ditempatkan di Unit Integriti dan Ombudsman Negeri untuk membantumembudayakan integriti, meningkatkan akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus dalam pentadbiran termasuk badan berkanun negeri.

“Saya juga ingin menegaskan supaya semua agensi kerajaan negeri mengenal pasti risiko rasuah masing-masing dan menyediakan pelan pengurusan rasuah masing-masing.

“Bagi meningkatkan tahap integriti sekali gus membanteras rasuah, saya mahu supaya kumpulan sokongan turut diberi perhatian dengan menyediakan kursus yang sesuai untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanatnya sempena Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI) 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak di sini semalam, anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Negeri dengan kerjasama SPRM.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip serta Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Terdahulu dalam amanatnya, Abang Johari mengakui mustahil untuk menghapuskan sepenuhnya gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Tetapi katanya, beliau akan pastikan kerajaan negeri meletakkan integriti dan antirasuah sebagai keutamaan dalam gerak kerja tahunan.

“Sejak dari 2017, kerajaan telah melaksanakan dengan penuh gigih usaha ke arah pemantapan integriti.

“Kerajaan juga telah menubuhkan Unit Integriti dan Ombudsman Negeri untuk mendidik, memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan dan seterusnya menggalakkan semua rakyat mengamalkan integriti dalam kehidupan seharian,” katanya.

Selain mendengar amanat daripada Ketua Menteri, peserta yang menghadiri majlis ini turut mendengar tiga ceramah mengenai integriti yang disampaikan penceramah bertauliah.

Antaranya, Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia Datuk Seri Zakaria Jaffar, Presiden Transparency International Malaysia Datuk Seri Akhbar Satar dan ceramah daripada ketua pesuruhjaya SPRM sendiri.

Abang Johari turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan menulis esei integriti sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi bagi kategori bahasa Melayu dan bahasa Inggeri serta pertandingan video pendek integriti.