Anda di sini

Rakyat diseru jadi pemantau janji kerajaan PH

Advertisement
 Wong (empat kiri), Chieng (tiga kiri) serta yang lain bersama-sama meraikan sambutan hari jadi ke-76 Dr Soon (empat kanan) pada Majlis Makan Malam Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran SUPP Cawangan Dudong di Sibu, kelmarin.
RAIKAN BERSAMA: Wong (empat kiri), Chieng (tiga kiri) serta yang lain bersama-sama meraikan sambutan hari jadi ke-76 Dr Soon (empat kanan) pada Majlis Makan Malam Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran SUPP Cawangan Dudong di Sibu, kelmarin.

SIBU: Rakyat di negeri ini diseru supaya memainkan peranan sebagai pemantau janji-janji kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong Wong Chin Yong berkata, ini kerana janji-janji manifesto yang dibuat oleh PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sehingga kini banyak yang belum ditunaikan.

“Kita sebagai rakyat harus menagih serta menggesa kerajaan PH mengotakan janji mereka.

“Suara rakyat negeri ini harus kuat untuk membolehkan mereka (kerajaan PH) mendengar seterusnya bertindak.

“Sekarang mereka sudah menjadi pemerintah di kerajaan pusat maka tiada alasan untuk kerajaan PH tidak menunaikan janji mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran SUPP Cawangan Dudong di sebuah restoran di sini, kelmarin.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden II SUPP Datuk Chieng Buong Toon, Penasihat SUPP Cawangan Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck serta tetamu jemputan yang lain.

Pada majlis itu, hadirin yang hadir turut meraikan sambutan hari jadi Dr Soon yang ke-76 yang jatuh pada tarikh sama.

Sementara itu, Wong turut memberitahu bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) daripada kerajaan pusat yang masih belum lagi dimuktamadkan telah mengecewakan ramai masyarakat Cina di negeri ini.

“Pengiktirafan UEC adalah janji PH sebelum ini dan ia masih belum ditunaikan sehingga sekarang.

“Banyak remeh-temehnya kerajaan PH ini bukan sahaja perkara tersebut malah banyak perkara lain,” tegasnya.

Bercakap mengenai Pilihan Raya Negeri akan datang, Wong berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadapi tentangan sengit daripada kerajaan PH.

GPS katanya, harus menggunakan isu-isu kenegerian untuk memastikan hak negeri ini tidak terhakis sekali lagi sekiranya PH berkuasa terhadap negeri ini.

“GPS mesti terus melaksanakan pembaharuan strategi mereka pada Pilihan Raya Negeri yang dijangka diadakan pada 2021. Tunjukkanlah bahawa kita bukannya boneka kepada UMNO dan Barisan Nasional amnya.

“Kita ada prinsip sendiri iaitu mengutamakan negeri ini dan hak rakyatnya sendiri. GPS harus memperjuangkan agenda hak-hak negeri ini,” tegasnya.

Wong turut menggesa ahli parti supaya terus berjuang memastikan GPS terus relevan dengan keadaan negeri ini yang masih menuntut hak-haknya terhadap kerajaan pusat.

“Pembentukan cawangan ini (SUPP Cawangan Dudong) adalah sokongan berterusan ahli parti kita di kawasan Dudong.

“Maka kita mempunyai suara yang kuat untuk memastikan GPS kekal memerintah negeri ini pada Pilihan Raya Negeri akan datang,” tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement