Anda di sini

PM Pakistan petik kejayaan sektor pelancongan Malaysia pada WGS

Advertisement

DUBAI: Perdana Menteri Pakistan Imran Khan menceritakan kisah kejayaan sektor pelancongan Malaysia dan sumbangannya kepada ekonomi, pada Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2019, di sini.

“Pakistan mempunyai potensi pelancongan terbaik. Pada masa ini kami hampir tidak mempunyai aktiviti pelancongan berbanding negara lain

“Malaysia sebagai contoh, yang mempunyai pantai dan resort pelancongan, mengutip AS$22 bilion (US$1=RM4.06) setiap tahun manakala Turki dengan pantai dan tapak-tapak bersejarahnya mengumpul AS$42 bilion daripada pelancongan,” katanya semasa berucap pada Sidang Kemuncak itu pada Ahad.

Justeru, Pakistan yang memiliki kawasan pergunungan yang banyak dan monumen bersejarahnya mahu memanfaatkan sektor pelancongan serta meningkatkan ekonomi.

“Separuh daripada puncak tertinggi di dunia terletak di Pakistan. Kami mempunyai kira-kira 1,000km garis pantai serta monumen bersejarah dan bandar-bandar purba,” kata Khan.

Pakistan juga merupakan pusat tumpuan masyarakat Sikh untuk beribadah, dan tapak berkenaan sudah pun dibuka baru-baru ini untuk jemaah mereka, katanya.

“Pakistan juga merupakan lokasi Buddha tertua di dunia, di Haripur. Terdapat banyak Kuil Sufi di negara ini,” katanya.

Bagi menarik lebih banyak pelancong, Islamabad juga memudahkan rejim visanya.

“Rakyat dari kira-kira 70 negara boleh datang dan mendapatkan visa mereka di lapangan terbang. Pakistan membuka peluang pelancongan dan perniagaan untuk dimanfaatkan. Inilah masanya untuk Pakistan bangkit,” kata Khan, bekas pemain kriket terkemuka yang beralih ke bidang politik. — Bernama

Advertisement