Anda di sini

Piala Fed: Romania melangkah ke separuh akhir selepas kejutkan Republik Czech 3-2

Advertisement
 Halep (kanan) meraikan kejayaan pasukannya di Ostrava kelmarin. — Gambar Reuters
LAKAR KEJUTAN: Halep (kanan) meraikan kejayaan pasukannya di Ostrava kelmarin. — Gambar Reuters

PARIS, Perancis: Romania melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Fed buat kali pertama dalam sejarah mereka selepas mengejutkan juara bertahan, Republik Czech 3-2 ketika Irina-Camelia Begu dan Monica Niculescu mengejutkan juara bergu wanita Terbuka Wimbledon dan Terbuka Perancis, Barbora Krejcikova dan Katerina Siniakova dalam acara bergu.

Begu dan Niculescu menang 6-7(2/7), 6-4 dan 6-4 pada set penentuan di Ostrava, yang berlarutan kurang tujuh minit untuk tempoh tiga jam.

Krejcikova dan Siniakova, pasangan bergu utama dunia, ketinggalan awal pada set ketiga sebelum mengikat kedudukan 4-4 tetapi bergu Romania memenangi dua mata seterusnya untuk mengesahkan kemaraan pasukan mereka ke separuh akhir.

Kekalahan itu menamatkan impian Czech, juara 10 kali, untuk melangkah ke separuh akhir Piala Fed buat tahun ke-11 berturut-turut dan juga mengalami kekalahan pertama di tempat sendiri dalam satu dekad.

Pada perlawanan awal, Simona Halep memenangi pertarungan dua bekas pemain nombor satu dunia apabila menewaskan Karolina Pliskova 6-4, 5-6 dan 6-4 untuk meletakkan Romania 2-1 di hadapan.

“Saya berasa gembira untuk menang menentang lawan yang sukar,” kata Halep selepas kemenangan acara perseorangan kedua beliau hujung minggu ini. “Ia adalah kemenangan terbaik dan terbesar saya dalam Piala Fed.”

Siniakova, yang memenangi dua perlawanan perseorangan beliau ketika Czech menewaskan Amerika Syarikat (AS) di final tahun lepas, mengikat kedudukan 2-2 dengan menewaskan Mihaela Buzarnescu 6-4 dan 6-2.

Halep ada berkata memenangi Piala Fed untuk Romania kini menjadi sasaran utama beliau selepas akhirnya memenangi kejuaraan Grand Slam di Terbuka Perancis tahun lepas.

Romania akan bertandang ke Perancis untuk perlawanan separuh akhir April depan sementara perlawanan separuh akhir kedua menyaksikan Belarus menentang Australia.

Di Liege, Carolina Garcia, melengkapkan kepulangannya selepas dua tahun tersisih dari Piala Fed apabila mengetuai Perancis ketika menewaskan Belgium dan melangkah ke peringkat separuh akhir yang keempat mereka dalam tempoh lima tahun.

Garcia menewaskan pemain nombor satu Belgium, Elise Mertens 6-2 dan 6-3, selepas menewaskan Alison Van Uytvanck pada perlawanan pertama.

Kemenangan ke atas Mertens memastikan Perancis mendahului 3-0 sebelum Belgium mengutip mata sagu hati pada acara bergu.

“Dua tahun bukan satu tempoh yang lama dalam karier tenis,” kata Garcia, yang memilih tidak menyertai Piala Fed pada 2017 selepas tidak sehaluan dengan rakan sepasukannya.

“Tetapi saya sentiasa berkata saya akan kembali dan ia adalah penting bagi saya.”

Di Asheville, North Carolina, kemenangan dalam acara perseorangan dan bergu membolehkan Australia menewaskan juara 18 kali, Amerika Syarikat (AS) 3-2.

Ashleigh Barty mencipta kemenangan ke-10 berturut-turut pada kejohanan ini untuk menewaskan Madison Keys 6-4 dan 6-1 dan meletakkan Australia 2-1 di hadapan tetapi Danielle Colins mengikat kedudukan apabila menewaskan Daria Gavrilova 6-1, 3-6 dan 6-2.

Barty kemudian bergandingan dengan Priscilla Hon untuk menewaskan Collins da Nicole Melichar 6-4 dan 7-5 dalam acara bergu.

Belarus mudah melangkah ke separuh akhir apabila Aryna Sabalenka menewaskan Laure Sigemund dari Jerman 6-1 dan 6-1 untuk mata kemenangan 3-0.

Perlawanan separuh akhir akan berlangsung pada hujung minggu 20 dan 21 April depan. — AFP

Advertisement