Anda di sini

Pertembungan maut MPV-4WD

Advertisement
 Keadaan kedua-dua kenderaan selepas terlibat dalam kemalangan di selekoh Telok Sabang selekoh dekat Kampung Tambey, Jalan Kota Samarahan-Asajaya.
REMUK: Keadaan kedua-dua kenderaan selepas terlibat dalam kemalangan di selekoh Telok Sabang selekoh dekat Kampung Tambey, Jalan Kota Samarahan-Asajaya.

ASAJAYA: Seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut selepas terlibat dalam kemalangan di selekoh Telok Sabang dekat Kampung Tambey, Jalan Kota Samarahan-Asajaya pagi semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu, mangsa maut dikenali Sani Amit, 31, dan berasal Kampung Lot Baru, Sebuyau.

“Kemalangan maut ini berlaku sekitar jam 7.50 pagi tadi (semalam) di Kilometer 8, Jalan Kota Samarahan-Asajaya di selekoh Telok Sabang berdekatan Kampung Tambey, Asajaya melibatkan dua kenderaan iaitu jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pacuan empat roda (4WD).

“Kemalangan berlaku apabila mangsa yang memandu kenderaan MPV seorang diri dari arah Asajaya menuju ke Kota Samarahan hilang kawalan di selekoh tersebut lalu memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan kenderaan 4WD yang bergerak dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Alexson memberitahu, mangsa dibawa ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak dan meninggal dunia di situ sekitar jam 9.30 pagi manakala warga emas, 62, yang merupakan pemandu kenderaan 4WD mengalami cedera ringan.

“Kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, pihak polis telah menyiasat dan mengambil gambar tempat kejadian.

Sementara itu, jurucakap bomba yang juga tampil ke tempat kejadian memaklumkan pihaknya terpaksa menggunakan pemotong hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Jelas bomba, operasi tamat jam 8.40 pagi semalam.

  • oleh
  • Advertisement