Anda di sini

Pemuda mahu beli motosikal idaman ditipu RM4,700

Advertisement
Mustafa Kamal

MIRI: Seorang pemuda terpaksa berputih mata kerugian sejumlah RM4,700 serta tidak memiliki motosikal idamannya selepas ditipu ketika membuat pembelian menerusi urus niaga atas talian.

Pemuda berusia 20 tahun berasal dari Miri itu mendakwa melayari laman sosial Facebook, pada 2017 untuk mencari seseorang hendak menjual motosikal dan dia mengenali seorang lelaki melalui laman sosial itu menggunakan nama ‘Eastzsmilar jay Junior’.

Dalam laporannya mangsa memberitahu bahawa pemilik akaun ‘Eastzsmilar jay Junior’ membuat promosi mahu menjual motosikal Kawasaki Ninja 250cc berwarna hitam dan menawarkan harga RM7,000.

Mangsa mengaku bersetuju dengan harga tersebut dengan membuat pembayaran secara ansuran.

Sekitar Julai 2017, mangsa berjumpa dengan pemilik akaun laman sosial berkenaan iaitu seorang lelaki (suspek) di satu kawasan di Taman Tunku Miri dan mangsa menyerahkan wang tunai RM1,000 sebagai bayaran pendahuluan.

Pada petang hari sama, suspek mengajak mangsa melihat motosikal dimaksudkan di kawasan perumahan Padang Kerbau Bridge No 1, Jalan By Pass Miri.

Selepas itu, mangsa membuat bayaran keseluruhan RM3,700 ke dalam akaun BSN atas nama Ismail Jaini melalui sembilan kali transaksi dan kali terakhir bayaran dibuat pada 10 November 2018.

Manakala suspek berjanji menyerahkan motosikal kepada mangsa setelah bayaran RM1,000 dibuat pada 10 November 2018 kerana sebelum itu mangsa pernah meminta supaya motosikal diserahkan disebabkan dia memerlukannya untuk kegunaan harian.

Mangsa menyedari ditipu selepas tidak menerima motosikal pada tarikh dijanjikan malah nombor telefon suspek juga tidak dapat dihubungi.

Mangsa juga mendapati motosikal tersebut tiada lagi di kawasan Perumahan Padang Kerbau Bridge No.1, Jalan By Pass dan lelaki itu tidak lagi tinggal di situ kerana rumah itu telah disewa orang lain.

Berikutan itu, mangsa mengalami kerugian RM4,700 kemudian membuat laporan di Balai Polis Miri kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah dalam kenyataannya di sini semalam mengesahkan kes tersebut.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau tipu helah pihak tertentu menawarkan barangan jauh lebih murah daripada harga pasaran.

Mustafa turut menasihati orang ramai supaya membuat semakan melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/# untuk menentukan sama ada akaun bank penjual barangan online itu terlibat dengan kes penipuan atau sebaliknya.

“Sekiranya anda mendapati penjual tersebut melakukan penipuan laporkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Advertisement