Anda di sini

Pemandu Toyota Vios mengaku tidak bersalah

 K Vaitheswaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret dekat Bukit Mertajama, semalam atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Moey Yun Peng dalam kejadian kemalangan di Jambatan Pulau Pinang pada 20 Jan lepas. — Gambar Bernama
BICARA: K Vaitheswaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret dekat Bukit Mertajama, semalam atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Moey Yun Peng dalam kejadian kemalangan di Jambatan Pulau Pinang pada 20 Jan lepas. — Gambar Bernama

BUKIT MERTAJAM: Seorang bekas pekerja salon mengaku tidak bersalah  di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini semalam atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Moey Yun Peng, selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu Yun Peng di Jambatan Pulau Pinang terhumban ke dalam laut pada 20 Jan lepas.

K. Vaitheswaran, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Tamil di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.

Lelaki itu yang memandu kereta Toyota Vios ketika kejadian didakwa menyebabkan kematian rakannya yang juga penuntut kolej swasta, di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai di sini, jam 3.00 pagi pada hari berkenaan.

Vaitheswaran yang kelihatan sentiasa tunduk semasa prosiding djalankan, didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum 10 tahun, dan denda sehingga RM20,000, dan boleh hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun daripada sabitan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan negeri Yusaini Amer Abdul Karim memohon kepada mahkamah jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin atas faktor keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun peguam S. Parameswaran yang mewakili tertuduh memohon jaminan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya kini tidak lagi bekerja.

“Selain itu tertuduh tinggal bersama ibu bapanya di mana bapanya bekerja sebagai pekerja elektrik yang mempunyai pendapatan RM2500 sebulan manakala ibunya hanya suri rumah,” katanya

Peguam itu kemudiannya meminta jaminan dikurangkan kepada RM5,000 kerana tiada alasan untuk tertuduh melarikan diri daripada kes itu dan anak guamnya memberikan kerjasama yang baik kepada polis sepanjang siasatan terhadapnya dilakukan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mac untuk sebutan kes.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai dan mengarahkan tertuduh melapor diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali.

Dalam kejadian jam 2.54 pagi Ahad, SUV Mazda CX-5 yang dipandu Yun Peng terhumban ke laut selepas keretanya terlibat dalam kemalangan dengan kereta jenis Toyota Vios di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang menghala Perai.

Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Yun Peng dari dasar laut, mengambil masa lebih 24 jam, dan ia berjaya dikeluarkan pada Selasa petang, 22 Januari.

Mayat Yun Peng yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang, ditemukan dalam SUV yang remuk itu semasa ditarik keluar dari laut pada jam 6.07 petang. — Bernama