Anda di sini

Lokasi suspek kes tetak sudah dikenalpasti

DZULBAHARIN semasa bertemu dengan penduduk pada Program Hari Bertemu Pelanggan di Telipok Ria.
DZULBAHARIN semasa bertemu dengan penduduk pada Program Hari Bertemu Pelanggan di Telipok Ria.

TUARAN: Pihak polis sudah mengenalpasti dan mengesan kedudukan suspek yang menetak seorang warga Australia pada 26 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata pihaknya kini menunggu masa sesuai untuk menahan suspek warga asing yang dikenali sebagai Roy.

“Lokasi persembunyian suspek sudah dikenalpasti bagaimanapun keadaan pada masa ini tidak sesuai untuk kita melakukan penangkapan.

“Kita masih dalam strategi tersendiri termasuk memastikan suspek leka sebelum melaksanakan tindakan selanjutnya bagi memastikan suspek tidak menghilangkan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Hari Bertemu Pelanggan di Telipok Ria di sini hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan jenayah di sini Dzulbaharin berkata kadar indeks jenayah  di daerah ini ditahap sama selama tiga tahun berturut-turut sejak 2016.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran terutama Bahagian Siasatan Jenayah berjaya menyelesaikan 70 peratus kadar jenayah yang direkodkan.

“Jenayah lain turut terkawal dan hanya beberapa jenayah termasuk pecah rumah dan curi kenderaan dilihat merekodkan peningkatan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menyeru masyarakat untuk bekerjasama dengan pihak polis dalam memastikan kadar jenayah dapat dikawal di daerah ini termasuk menggunakan aplikasi mudah alih Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dalam melaporkan sebarang kejadian secara mudah dan pantas.

Dalam pada itu seramai 35 penduduk di kawasan Telipok Ria yang hadir bertemu dengan pegawai polis sepanjang program selama sejam dijalankan.
Telipok Ria juga dipilih sebagai salah satu lokasi 'pembersihan' pembanterasan dadah bagi daerah ini.