Anda di sini

Liga Perdana: The Blues ‘hilang arah’ di Stadium Etihad

Advertisement
 Aguero (tengah) menjaringkan gol kedua City pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Chelsea di Stadium Etihad,  Manchester pada Ahad lepas. — Gambar AFP— Gambar Reuters
LEDAKAN PEMUSNAH: Aguero (tengah) menjaringkan gol kedua City pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Chelsea di Stadium Etihad, Manchester pada Ahad lepas. — Gambar AFP— Gambar Reuters

MANCHESTER, England: Sergio Aguero menjaringkan hatrik ketika Manchester City menjaringkan empat gol dalam tempoh 25 minit untuk memalukan Chelsea 6-0 dan kembali merampas tangga teratas Liga Perdana Inggeris dari Liverpool dengan perbezaan gol Ahad lepas.

Aguero seharusnya menambah tiga lagi gol ketika beliau terlepas peluang awal selain cubaan terkena palang dalam separuh masa kedua pada petang yang amat memalukan buat anak buah Maurizio Sarri.

Raheem Sterling membuka jaringan dan disudahkan oleh Ilkay Gundongan pada 25 minit pertama permainan ketika City menamatkan apa yang mungkin minggu sukar dengan kunjungan ke Everton di antara perlawanan menentang Arsenal dan Chelsea tetapi mengumpul sembilan mata maksima.

Liverpool masih memiliki kelebihan kerana kurang satu perlawanan berbanding City tetapi memberikan ‘ruang’ kepada City apabila seri dengan Leicester City dan West Ham pada dua perlawanan sebelum jadual perlawanan hujung minggu.

Chelsea pula tercicir ke tangga keenam dengan kekalahan teruk yang pasti mengembalikan keraguan tentang masa depan Sarri.

“Saya tidak tahu. Anda harus bertanya kepada kelab,” kata Sarri apabila ditanya jika beliau bimbang akan dipecat selepas hanya lapan bulan dari kontrak tiga tahun di Stamford Bridge.

“Saya risau tentang pasukan saya, risau dengan prestasi mereka tetapi tugas saya sentiasa ada risiko.”

Kekalahan 0-4 di Bournemouth pada perlawanan terakhir di gelanggang lawan adalah kekalahan liga terburuk Chelsea sejak 1996 tetapi Ahad lepas, ia merupakan kekalahan terburuk dalam mana-mana pertandingan sejak 1991 selepas gagal bangkit dari gol minit keempat Sterling.

Eden Hazard hilang fokus dari satu tendangan percuma pantas Kevin de Bruyne dan Bernardo Silva melakukan umpanan cantik yang disempurnakan Sterling.

“Kami bolos seawal minit keempat dengan cara yang tidak sepatutnya,” tambah Sarri.

“Ketika itu, kami hanya mahu bertahan dan kami tidak dapat menyaingi rentak kerana kami melakukan terlalu banyak kesilapan menentang lawan yang beraksi dengan sangat baik hari ini.”

Pep Guardiola menggambarkan perlawanan ini sebagai “final” untuk pasukannya kerana Chelsea mempunyai seminggu untuk membuat persediaan tetapi City beraksi pada hari Rabu dengan menewaskan Everton 2-0.

“Pada pandangan saya, saingan (kejuaraan liga) kan berlarutan sehingga ke perlawanan terakhir. Apa yang penting ialah selepas apa yang kami lakukan musim lepas, kami masih mampu melakukannya,” kata Guardiola.

“Orang biasanya akan jatuh selepas apa yang kami lakukan musim lepas tetapi kami masih bersaing.”

Guardiola meraung kecewa apabila Aguero gagal menyempurnakan peluang terbaik tidak lama selepas itu tetapi ia dilupakan dengan segera apabila Aguero menebus kesilapannya dengan menambah jaringan pada minit ke-31.

Aguero menjaringkan gol ketiga enam minit kemudian dari kesilapan pemain tengah Chelsea, Ross Barkley yang melakukan tandukan lemah ke arah penjaga golnya sendiri.

Dan rembatan Gundongan dari hujung kotak ternyata terlalu sukar buat penjaga gol paling mahal di dunia, Kepa Arrizabalaga, memburukkan lagi keadaan.

Kekalahan yang teruk itu menyebabkan penyerang baru Chelsea, Gonzalo Higuain, tidak mempunyai peluang menyerlah tetapi beliau tidak bernasib baik menjaringkan gol ketiga sejak tiba di Chelsea apabila cubaannya ditepis penjaga gol City, lima minit sebeulm rehat.

Ia mungkin satu-satu peluang terbaik Chelsea dan malangnya ia semakin buruk dalam separuh masa kedua apabila Aguero mengesahkan hatrik kedua dari dua perlawanan dengan menyempurnakan satu tendangan penalti dan berkongsi selaku penjaring terbanyak liga bersama-sama penyerang Liverpool, Mohamed Salah dengan 17 gol.

Walaupun selepas Aguero dikeluarkan, City masih berbisa dan menjaringkan gol keenam dengan gol kedua peribadi Sterling hasil umpanan Oieksandr Zinchenko. — AFP

Advertisement