Anda di sini

Lelaki hilang ditemui dalam keadaan lemah

Advertisement
 Mangsa dilaporkan hilang di kawasan Nanga Budu Saratok dijumpai dalam keadaan lemah dan dibawa ke Hospital Saratok untuk pemeriksaan kesihatan.
DITEMUI: Mangsa dilaporkan hilang di kawasan Nanga Budu Saratok dijumpai dalam keadaan lemah dan dibawa ke Hospital Saratok untuk pemeriksaan kesihatan.

SARATOK: Seorang lelaki dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak keluar dari rumah pada 5 Februari (Selasa) lalu ditemui dalam keadaan lemah petang kelmarin.

Duncan Leslie, 26, dari Rumah Rosita Dugat, Nanga Budu Krian, Saratok dijumpai sekitar jam 6.55 petang oleh penduduk yang turut sama dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok Nazry Mohamat berkata, mangsa dijumpai lebih kurang 500 meter dari tepi jalan dan Pos Kawalan Bomba (PBK).

“Operasi SAR pada hari tersebut diperluaskan dalam radius 12 kilometer dengan pencarian merangkumi kawasan sungai dan hutan dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Berikutan penemuan tersebut, operasi SAR memasuki hari ketiga hari ini (semalam) ditamatkan.

“Sebaik sahaja ditemui mangsa dibawa ke Hospital Saratok untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya dihubungi di sini semalam.

Dalam kejadian tersebut, Duncan disedari tidak pulang ke rumah oleh ibunya.

Pada hari kehilangannya, Duncan dilihat berlari ke arah jalan raya di kawasan sekitar Pejabat Pendaftaran Nanga Budu sekitar jam 5 petang oleh rakan mangsa.

Bagaimanapun, selepas kejadian mangsa didapati tidak pulang ke rumah dan menyebabkan keluarga mangsa membuat laporan polis.

Sebaik sahaja laporan polis dibuat di Balai Polis Saratok pada 7 Februari (Khamis) lalu, operasi dilancarkan melibatkan kerjasama bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

  • oleh
  • Advertisement