Anda di sini

Lantik pengadil sah untuk kendalikan kejohanan bola sepak, futsal

Advertisement
 Kamarudin (tiga kanan) menyerahkan borang pembaharuan lesen kepada Abang Zaini sambil disaksikan Kushairy (dua kanan), exco PBBS dan barisan pengadil.
PERBAHARUI LESEN: Kamarudin (tiga kanan) menyerahkan borang pembaharuan lesen kepada Abang Zaini sambil disaksikan Kushairy (dua kanan), exco PBBS dan barisan pengadil.

KUCHING: Mana-mana penganjur kejohanan bola sepak atau futsal diingatkan agar menggunakan khidmat pengadil bertauliah dan berdaftar dengan persatuan bola sepak bahagian dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Pengerusi Pengadil FAS, Abang Zaini Abang Ismail menjelaskan langkah itu penting untuk menjamin keselamatan kalangan pengadil, pemain-pemain dan penyokong semasa kejohanan.

Pada masa sama, ia akan mewujudkan perlawanan lebih berkualiti kerana dikendalikan oleh pengadil dan pegawai yang memiliki kepakaran dan terlatih.

“Keselamatan pengadil, pemain-pemain dan penyokong semasa penganjuran mana-mana kejohanan bola sepak dan futsal amat dititikberatkan dan perlu mendapat kepakaran pegawai dalam persatuan bahagian atau FAS.

“FAS ingin menegaskan persatuan tidak akan bertanggungjawab jika berlaku insiden tidak diingini seperti pemain-pemain bergaduh, menumbuk pengadil atau penyokong menyerang pengadil jika penganjur menggunakan pengadil tidak berdaftar.

“Risiko lain adalah penganjur berdepan aduan pasukan bertanding yang kalah jika mereka menggunakan khidmat pengadil tidak berlesen,” katanya ketika menerima borang pembaharuan lesen daripada 23 pengadil lama dan baharu bagi Persatuan Bola Sepak Sibu (PBBS) di pejabat persatuan itu semalam.

Majlis simbolik itu disempurnakan oleh Presiden PBBS, Dr Kamurudin Ahmed Junaidi yang turut dihadiri Setiausaha Kehormat PBBS, ASP Kushairy Bujang.

Sehubungan itu, Abang Zaini yang juga Naib Presiden FAS menggesa pengadil seluruh negeri untuk memperbaharui lesen mereka setiap tahun di persatuan bahagian masing-masing.

Beliau menjelaskan, pengadil-pengadil juga perlu lulus ujian kecergasan, mendaftar dan membayar yuran ahli yang ditetapkan setiap tahun.

“Kegagalan mendaftar dengan persatuan bahagian dan FAS menyebabkan pengadil-pengadil terbabit tidak layak menjadi pengadil sebarang kejohanan bola sepak dan futsal.

“Untuk menjaga keselamatan dan kebajikan pengadil, FAS menyarankan semua pengadil di Sarawak perlu mendaftar dengan persatuan bahagian terlebih dahulu sebelum FAS mengeluarkan lesen pengadil kepada mereka membolehkan mereka mengadili mana-mana perlawanan dan pertandingan bola sepak peringkat bahagian dan negeri,” jelas beliau.

Sementara itu, Dr Kamurudin menyuarakan rasa kecewa kerana Sibu kekurangan padang bola sepak yang sesuai untuk menganjurkan kejohanan peringkat bahagian.

Menurutnya, Padang Penjara yang sering menjadi venue utama penganjuran kejohanan bola sepak di Sibu sudah tidak relevan atas faktor keselamatan pengadil dan pemain-pemain kerana mudah dicerobohi penyokong.

“Selain itu, ukuran padang tersebut juga tidak mengikut standard tepat keluasan padang bola sepak yang ditetapkan,” katanya.

Menjelas lanjut, Kamurudin menjelaskan PBBS dan FAS tidak terlibat langsung dengan Liga Bola Sepak Zon Tengah Sarawak (SCZSL) yang bermula pada 16 Februari ini.

“Liga tersebut dianjurkan oleh badan persendirian dan tidak menggunakan khidmat pengadil PBBS atau FAS.

“Kita tidak bertanggungjawab jika perkara tidak diingini berlaku kerana menggunakan khidmat pengadil tamat lesen dan saya difahamkan oleh Presiden FAS, Datuk Posa Majais setakat ini belum ada permohonan pengadil atau pegawai teknikal untuk membantu kejohanan itu,” katanya.

Beliau juga sependapat dengan Abang Zaini mengenai gesaan kepada penganjur menggunakan khidmat pengadil berdaftar dengan lesen telah diperbaharui kerana mereka diberi ilmu terkini dan dalam kecergasan terbaik.

Katanya, jabatan kerajaan dan swasta hendak menganjurkan kejohanan bola sepak atau futsal di Sibu boleh berhubung dengan PBBS di talian 010-4088998.

Posa dalam satu kenyataan menyebut FAS menyarankan agar mana-mana penganjur yang hendak menganjur kejohanan bola sepak atau futsal di seluruh negeri ini menggunakan khidmat pengadil yang berlesen bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan penganjur SCZSL untuk menghantar senarai pengadil yang sah kepada PBBS.

Untuk rekod, Jawatankuasa Pengadil Bola Sepak Negeri Sarawak akan mengadakan seminar dan perjumpaan dengan semua Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Bahagian di Sarikei pada Mac depan.

Advertisement