Anda di sini

Kuching FA mahu ‘rantai’ pemain Jepun

Advertisement
 Iswandi (kanan) memperkenal Yuta (dua kanan) kepada rakan sepasukan semasa sesi latihan di Padang C, Petra Jaya Kuching semalam.
PERKENAL: Iswandi (kanan) memperkenal Yuta (dua kanan) kepada rakan sepasukan semasa sesi latihan di Padang C, Petra Jaya Kuching semalam.

KUCHING: Skuad Kuching FA berminat untuk mengikat pemain Jepun, Yuta Suzuki dalam usaha menguatkan jentera serangan sebelum sepak mula Liga M3 pada 16 Mac ini.

Perancang tengah berusia 28 tahun tiba di sini semalam dan terus menyertai sesi ujian di Padang C, Petra Jaya di sini.

Penolong Pengurus, Iswandi Ali Hassan berkata pihaknya akan menguji dahulu kemampuan Yuta dalam beberapa hari sebelum membuat keputusan.

“Kita akan lihat dahulu kemampuannya (Yuta). Jika pemain kelahiran Matahari Terbit itu menepati ciri-ciri yang diperlukan sudah tentu kita akan menandatangani kontrak beliau,” katanya di sini semalam.

Menurut Iswandi, jika Kuching FA bersetuju mengikat Yuta pihaknya tidak perlu mengeluarkan sebarang kos kerana gaji pemain itu dibayar sepenuhnya oleh syarikat Yakult.

Untuk rekod, Yuta sebelum ini mengikat kontrak dengan Kelantan FA namun dilepaskan saat akhir selepas jurulatih baharu skuad itu mahu mencari pemain pertahanan sedangkan Yuta beraksi di posisi tengah.

Iswandi menambah, Kuching FA juga akan menguji seorang lagi pemain import dari Korea Selatan pada minggu hadapan.

Sebelum ini, Yuta beraksi di Republik Czech dan kelab terakhir disertainya adalah Phnom Penh Crown FC yang bersaing dalam Liga Kemboja pada 2017.

Pemain itu memulakan karier bola sepaknya dengan pasukan universiti iaitu Senshu University Soccer Team pada 2009 hingga 2013.

Sementara itu, Kuching FA akan memulakan kempen 2019 dengan menentang ATM pada saingan Piala FA Sabtu ini di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini bermula jam 3.30 petang.

Kuching FA juga akan memperkenal jersi rasmi skuad itu hari ini di premis Lea Sports Centre, pusat beli- belah Sarawak Plaza di sini.

Advertisement