Anda di sini

Kelab bola sepak luar lebih patriotik, kata Hadi

Advertisement
 Hadi (tengah) menjalani latihan bersama rakan sepasukan pada hari pertama kem latihan pusat skuad bawah 22 tahun di Padang Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur kelmarin. — Gambar Bernama
SESI LATIHAN: Hadi (tengah) menjalani latihan bersama rakan sepasukan pada hari pertama kem latihan pusat skuad bawah 22 tahun di Padang Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sokongan tinggi pasukan Fagiano Okayama dari Jepun yang membenarkan pemain bola sepak profesional, Hadi Fayyadh Abdul Razak mewakili negara pada Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Bawah 22 tahun 2019 di Phnom Penh Kemboja harus dicontohi oleh kelab-kelab bola sepak tempatan.

Berbeza dengan beberapa kelab tempatan yang enggan melepaskan pemain, Hadi Fayyadh berkata sebaliknya pasukannya bangga apabila beliau terpilih menyarung jersi kebangsaan dan turut menasihatinya agar manfaatkan peluang itu sebaik-baiknya.

“Dari segi kelab saya, Alhamdullilah mereka memberi kebenaran dan jurulatih beritahu saya, bukan senang untuk bermain untuk negara, sedangkan di Jepun sendiri, bukan semua pemain yang bagus itu akan terpilih beraksi di Jepun.

“Jadi mereka menasihatkan saya, peluang yang saya dapat ini adalah satu kebanggaan. Mereka juga gembira saya dapat wakil Malaysia dan mengucapkan selamat maju jaya kepada saya,” katanya kepada pemberita sebelum memulakan latihan bersama pasukan kendalian Ketua Jurulatih B-23, Datuk Ong Kim Swee di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini kelmarin.

Dalam pada itu penyerang negara itu berkata beliau akan berusaha membantu pasukan sehingga ke final pada kejuaraan bola sepak AFF B-22 yang akan membuka tirainya 17-26 Feb ini di Kemboja.

Jelas beliau, semua pemain perlu menunjukkan prestasi cemerlang kerana kesemua pemain adalah berpotensi tinggi untuk membawa pasukan ke final.

“Misi saya di sini adalah mahu membantu pasukan sehingga kami layak ke final, banyak perkara baharu saya belajar di sana. Saya harap dapat memberikan kejayaan untuk pasukan negara.

“Sudah sebulan di sana (Jepun). Alhamdullilah saya dapat sesuaikan diri di sana. Saya dapat sokongan penuh daripada jurulatih dan pasukan.

“Bagi saya pemain yang dipanggil mempunyai potensi yang tinggi, saya harap ia dapat memberikan peluang kepada pemain untuk menunjukkan sesuatu... ini cabaran yang bagus,” katanya.

Sebanyak lima pemain yang tidak dilepaskan kelab masing-masing bagi menyertai skuad Bawah 23 (B-23) negara menghadapi Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak AFF B-22 memberi satu tamparan negatif kepada persiapan pasukan.

Lima pemain itu ialah pertahanan sensasi negara, Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Muhammad Daniel Amier Norhisham (Felda United), Muhammad Zahril Azri Zabri (Felda United), Muhammad Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (Kedah). — Bernama

Advertisement