Anda di sini

Guna dokumen palsu, kontraktor ketahui nasib 27 Mac

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang kontraktor akan mengetahui nasibnya pada 27 Mac di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan memperdayakan Jabatan Akauntan Negara dengan dokumen tuntutan palsu.

Hakim Abu Bakar Manat menetapkan tarikh itu terhadap Kaslan Jiman, 47, setelah kes berkenaan ditutup pada peringkat akhir pendakwaan.

Tertuduh yang diwakili peguam Hamid Ismail akan mengetahui sama ada dipanggil membela diri atas pertuduhan terbabit atau sebaliknya dibebaskan.

Kesalahan terbabit dilakukan pada 28 Oktober 2013 di Jabatan Akauntan Negara Malaysia Sabah.

Tertuduh memberikan invois tidak bertarikh atas nama syarikat Nisha Enterprise No.RW413 dan Pesanan Kerajaan P13000085 bertarikh 22 Oktober 2013 kepada Penolong Akauntan Unit Bayaran Jabatan Akauntan Malaysia Sabah Jusline Lingok.

Dokumen berkenaan berkaitan untuk kerja pembaikan pintu pejabat pentadbiran, perpustakaan dan pejabat hal ehwal pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara Kinarut berjumlah RM19,800 yang tidak dilakukan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama.

Jika sabit salah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Sepanjang perbicaraaan seramai 25 saksi pihak pendakwaan dipanggil memberikan keterangan.

Tertuduh yang mula didakwa sekitar dua tahun lalu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu, diberikan ikat jamin sebanyak RM20,000 deposit RM8,000 yang dicagarkan seorang penjamin tempatan.

  • oleh
  • Advertisement