Anda di sini

DUN Repok agih dana suku pertama untuk setiap sekolah

Advertisement

SARIKEI: Sejumlah RM10,000 telah diperuntukkan kepada setiap sekolah menengah, manakala RM5,000 bagi sekolah rendah untuk penganjuran aktiviti sekolah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok bagi suku pertama tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, peruntukan itu diagihkan bagi memastikan semua sekolah menengah dan rendah dalam kawasan DUN Repok menjalankan aktiviti sekolah dalam usaha melahirkan generasi muda yang berkebolehan, aktif, berdaya saing dan cemerlang.

“Kita mahu melihat lebih ramai generasi muda dari DUN Repok khususnya lahir sebagai insan yang berkualiti pada masa akan datang.

“Justeru, kita telah memberi keutamaan penuh terhadap perkara yang berkaitan dengan generasi muda khususnya yang berkaitan dengan bidang pendidikan,” katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat DUN Repok, baru-baru ini.

Majlis ini telah berlangsung di Dewan Central Market Sarikei dan dihadiri lebih 1,000 penduduk.

Pada majlis yang sama juga, Huang turut menegaskan usaha untuk membawa lebih banyak pembangunan terutama kepada masyarakat dan kawasan DUN Repok amnya.

“Itu adalah misi utama kita. Kini kita sedang memberikan fokus untuk melaksanakan sistem perhubungan iaitu jalan darat dari Sarikei menuju ke Tanjung Manis.

“Berdasarkan pelan perancangan, projek membina jalan dari Sarikei menuju ke Tanjung Manis, termasuk sebuah jambatan bakal dilaksanakan bermula pada tahun ini.

“Usaha ini amat penting bagi memastikan aktiviti pembangunan di kawasan ini dapat dilancakkan lagi dan memberikan manfaat yang positif kepada sosialekonomi penduduk di kawasan ini,” ujar Huang.

Pada majlis tersebut, Huang menyeru kepada masyarakat yang tinggal di kawasan bandar agar terus memperkukuhkan hubungan yang erat sesama masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Konsep perpaduan seperti ini harus dieratkan lagi, sekiranya kita ingin terus menikmati ketenteraman yang telah kita pelihara sejak dahulu lagi.

“Masyarakat harus sedar tentang betapa pentingnya menjadi sebuah bangsa yang bersatu, terutama bila bernaung di bawah satu bumbung pentadbiran,” tegas beliau.

“Peringatan ini bukan sahaja khas untuk generasi muda tetapi juga seluruh peringkat masyarakat.

“Kita mahu rakyat terus bersatu dalam apa-apa keadaan sekalipun, jangan gadaikan masa depan negara hanya kerana perbalahan sesama sendiri.

“Oleh itu, pertahankanlah kemakmuran, kukuhkan perpaduan dan serlahkan patriotisme kerana ia tunjang ke arah kemajuan dan kemakmuran negara,” katanya.

Pada majlis itu, Huang telah meluang masa untuk beramah mesra dengan masyarakat setempat sambil mengagihkan angpau kepada kanak-kanak yang hadir.

Advertisement