Anda di sini

Co-opbank Pertama akan lancar lima produk baharu tahun ini

Advertisement

KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama Malaysia Bhd (CBP) akan memperkenal lima produk baharu tahun ini yang dapat membantu memacu pertumbuhan koperasi dari segi keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2019.

Pengerusi, Kamari Zaman Juhari berkata kelima-lima produk itu yang dijangka dapat mengurangkan kos operasi CBP pada masa hadapan, akan dilancarkan secara berperingkat mulai suku pertama sehingga suku keempat tahun ini.

“Kita akan memperkenalkan produk baharu yang telah diluluskan iaitu i-factoring, i-contrak, perkhidmatan ejen perbankan, kredit berputar dan perkhidmatan bank bergerak,” katanya kepada pemberita pada sesi lawatan kerja Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Datuk Nordin Salleh ke CBP di sini, semalam.

Bagi perkhidmatan bank bergerak, beliau berkata ia akan diperkenalkan pada April, dengan beberapa destinasi tumpuan yang telah dikenal pasti iaitu Bandar Tun Razak, Bangi dan Hulu Selangor bagi Lembah Klang selain Pontian, Kluang dan Kota Tinggi bagi Johor.

Sementara itu, perkhidmatan ejen perbankan dijangka diperkenalkan pada suku keempat tahun ini, katanya.

“Prestasi CBP pada 2018 begitu memberangsangkan. Jumlah keuntungan sebelum zakat yang belum diaudit adalah RM52.32 juta berbanding RM39.73 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, bagi 2018, CBP juga berjaya meningkatkan jumlah nilai aset kepada RM3.61 bilion berbanding RM3.16 bilion pada 2017, dan daripada jumlah tersebut, 72 peratus merupakan jumlah pembiayaan yang dikeluarkan oleh CBP manakala baki 28 peratus adalah penempatan deposit CBP dengan institusi kewangan yang lain.

Selain itu, Kamari Zaman berkata keyakinan pelabur terhadap prestasi perniagaan, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan CBP telah mendorong peningkatan jumlah anggota bank koperasi itu.

Pada 2018, beliau berkata terdapat penambahan keanggotaan CBP iaitu hampir 6,000 anggota individu dan lebih 80 anggota koperasi baharu.

Berdasarkan prestasi kewangan yang baik secara berterusan setiap tahun, beliau berkata CBP mampu memberi pulangan dividen yang tinggi untuk menarik para pelabur menjadi anggota CBP.

Sementara itu, Nordin berkata sehingga 31 September, 2018, sektor perkhidmatan kewangan telah menyumbang perolehan sebanyak RM24.85 bilion.

Daripada jumlah itu, beliau berkata Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dan CBP yang merupakan bank koperasi, adalah penyumbang utama kepada perolehan sektor perkhidmatan kewangan koperasi iaitu sebanyak RM16.83 bilion atau 85 peratus.

Pada 2019, beliau berkata perolehan bagi sektor perkhidmatan kewangan disasarkan sebanyak RM38 bilion. — Bernama

Advertisement