Anda di sini

Bintang pop British Dua Lipa Artis Baharu Terbaik Grammy

DUA LIPA
DUA LIPA

PENYANYI dan penulis lagu Inggeris Dua Lipa menewaskan beberapa calon lain dalam apa yang dilihat sebagai dominasi wanita bagi membawa pulang anugerah Grammy untuk Artis Baharu Terbaik.

Bintang ‘synth-pop’ itu mengalahkan rakan senegaranya, Jorja Smith selain penyanyi-penulis lagu pop yang semakin dikenali Bebe Rexha dan penghibur R&B enigmatik H.E.R.

Kejayaan Lipa datang pada tahun 2016 dengan hit global pertamanya ‘Hotter than Hell’, yang kemudiannya disusuli oleh ‘Blow Your Mind (Mwah)’, yang membawanya ke dalam carta Billboard Hot 100 di AS.

Lagu single keenam Lipa, ‘New Rules’, yang dimuatkan dalam album studio sulungnya adalah lagu No.1 pertamanya di Britain -- dan yang pertama oleh artis solo wanita untuk mengungguli carta UK selepas ‘Hello’ nyanyian Adele pada tahun 2015.

“Bagi sesiapa sahaja yang belum lagi menyedari betapa istimewanya mereka mempunyai cerita yang berbeza, latar belakang yang berbeza, satu nama, dan mahu ia menjadi normal... ketahuilah apa sahaja latar belakang anda, apa yang anda percaya, jangan biar ia jadi penghalang kepada impian anda,” kata Lipa semasa menerima anugerahnya di acara anugerah yang diadakan di Staples Center Los Angeles itu.

Penyanyi berusia 23 tahun itu dilahirkan di London kepada pasangan ibu bapa yang berhijrah dari Kosovo; ayahnya bekerja secara sambilan sebagai seorang penyanyi rock dalam band Kosovar Oda, di mana beliau menjadi penyanyi utama.

Lipa berkata, album keduanya besar kemungkinan akan dikeluarkan pada tahun ini dengan ikon pop Prince dan perintis hip-hop selatan Outkast sebagai pengaruh utama. — AFP